Pameran hijab antarabangsa kembali pada 8-10 Mei ini

Pameran hijab antarabangsa kembali pada 8-10 Mei ini

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Kuala Lumpur International Hijab Fair (KLIHF), anjuran syarikat peruncitan busana Muslimah dan penganjuran acara antarabangsa, WOJ Wealth Sdn. Bhd., (WOJ) kini kembali di Negara Brunei Darussalam buat kali kedua dengan menampilkan konsep dan atur cara yang berbeza daripada tahun lalu serta lebih mengujakan.

KLIHF kali ini akan berlangsung selama tiga hari, pada 8 hingga 10 Mei ini di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, ICC.

Menurut kenyataan penganjur, ia merupakan pameran perdagangan berkonsep Business to Business (B2B) dan Business to Consumer (B2C), hasil usahasama empat usahawan jenama fesyen Muslimah Malaysia, iaitu Mona Din pemilik jenama Hajaba, Abjda Datuk Zulkifli dan Sukinah Datuk Zulkifli pemilik jenama Nainikifli serta Farrah Adeeba pemilik jenama Najjah.

Kali ini, pameran KLIHF turut menampilkan empat seleberiti yang terkenal dengan pengalaman mereka di dalam bidang Islam dan fesyen iaitu Ustaz Don, Mizz Nina, Altimet dan Rozita Che Wan.

Penganjur tempatan, Star Bugs Event Management, mengalu-alukan orang ramai terutama umat Islam untuk melawat pameran itu dan kepada para penjual tempatan yang berminat boleh menghubungi Star Bugs Event Management.

ARTIKEL YANG SAMA