Pameran Industri Kreatif Indonesia 17-20 Dis

Pameran Industri Kreatif Indonesia 17-20 Dis

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Dis – Bagi meningkatkan serta mengukuhkan lagi kerjasama perdagangan dan ekonomi di antara Indonesia dan Brunei Darussalam, Kedutaan Besar Republik Indonesia di negara ini akan mengadakan Pameran Industri Kreatif Indonesia pada 17 hingga 20 Disember ini di The Mall, Gadong.

Dijangka menyempurnakan perasmian pameran itu nanti ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong.

Menurut kenyataan Kedutaan Besar Republik Indonesia, pameran itu akan mengetengahkan pelbagai barangan termasuk fesyen pakaian batik Muslim, makanan ringan, makanan kesihatan, aksesori, kraf tangan, perabot daripada produk kulit dan juga bahan binaan.

Pihak kedutaan juga akan mengadakan perbincangan perdagangan pada 19 Disember bertempat di Dewan Songket 1, di Hotel Antarabangsa Rizqun pada 10:30 pagi.

Sehubungan itu, Kedutaan Besar Republik Indonesia mengalu-alukan orang ramai untuk mengunjungi pameran itu nanti.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai acara tersebut, maklumat bolehlah diperoleh daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia di talian 2330180.

ARTIKEL YANG SAMA