Pameran Islam Oman buka tirai

Pameran Islam Oman buka tirai

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Ugama, Kesultanan Oman dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Negara Brunei Darussalam hari ini merasmikan Pameran Tolerance, Understanding, Coexistence: Oman’s Message Of Islam di Negara Brunei Darussalam bertempat di Auditorium, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS).

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya merasmikan pameran tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

Terdahulu Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa pameran berkenaan merupakan salah satu mercu tanda ke arah mencapai kejayaan dalam bidang hal ehwal ugama dan menjadi satu insentif ke arah kerjasama bilateral antara Negara Brunei Darussalam dan Oman.

Beliau dalam pada itu juga berharap agar penganjuran pameran tersebut akan dapat mengeratkan lagi hubungan antara kedua buah negara.

“Negara Brunei Darussalam dan Oman merupakan dua buah negara yang berbeza dari segi bahasa dan budaya, tetapi mempunyai nilai yang sama, iaitu nilai dalam Islam sebagai Ad-Diin, iaitu kesempurnaan dalam kehidupan.

Yang Berhormat Pehin ketika merasmikan pameran tersebut.
Yang Berhormat Pehin ketika merasmikan pameran tersebut.

“Adalah diharapkan melalui pameran ini, kita akan dapat mempelajari lebih banyak lagi di antara satu dengan yang lain dalam memperbaiki bukan saja hubungan antara kedua buah negara, akan tetapi lebih kepada hubungan antara Maha Pencipta, Allah S.W.T,” tambahnya lagi.

Majlis pelancaran tersebut turut diserikan dengan pertunjukkan ‘Sand Art Show’ oleh Shayma Ahmed Mohammed Al-Mughairy dan diikuti dengan persembahan Nasyid yang dipersembahkan oleh Anwar Salim Hamod Al-Asmi.

Pameran yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 1 Disember nanti itu merupakan sebuah program yang telah dipamerkan di hampir lebih dari 70 buah bandar dan 26 buah negara seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Sepanyol, Perancis, Belanda, Austria, Estonia, Lithuania, Brazil, Jepun, Kanada, Afrika Selatan, Slovenia, Kuwait dan yang terbaru ialah di Republik Singapura.

Pameran ini antara lain memberi gambaran tentang amalan agama Islam dalam kehidupan seharian, dengan penelitian kepada masyarakat. Di samping itu, ia turut menonjolkan mesej yang dibawa oleh Kesultanan Oman kepada masyarakat dunia iaitu toleransi, kesefahaman dan kehidupan bersama.

Pameran turut diisikan dengan dokumentari filem pendek Toleransi Agama di Oman serta menampilkan gambar-gambar, seni khat, artifak dan seni yang berperanan menyinari Islam dalam masyarakat kontemporari Oman. Tajuk pameran merupakan contoh yang baik dalam toleransi dan berharap para pengunjung akan belajar mengenainya. Islam di Oman adalah pautan dalam kalangan pelbagai mazhab dan kaum dan ia membantu melindungi identiti budaya pada masa ini di arus perubahan yang besar.

Selain memberikan satu pengalaman yang menarik kepada para pengunjung, pameran ini juga melibatkan 24 panel dengan teks dan grafik yang berkaitan dengan amalan agama dalam masyarakat Arab moden. Pameran dibukakan secara percuma kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

ARTIKEL YANG SAMA