Pameran kebudayaan Pakistan dapat sambutan

Pameran kebudayaan Pakistan dapat sambutan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Minggu Kebudayaan dan Pelancongan Republik Islam Pakistan anjuran Suruhanjaya Tinggi Pakistan yang berlangsung sejak Jumaat lalu di Dewan Teater, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, melabuhkan tirainya hari ini dengan majlis penyampaian sijil penghargaan dan hadiah kepada para peserta yang menyertai pameran itu.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan, Ahmed Ali Sirohey semasa menyampaikan ucapan ringkas pada majlis itu, berkata bahawa acara tersebut telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada orang ramai.

Acara bertujuan mempromosi kebudayaan dan pelancongan negara tersebut kepada rakyat dan penduduk di Brunei ini, yang sedikit sebanyak memberi gambaran mengenai kebudayaan di samping keunikan makanan yang terdapat di Pakistan, tambahnya.

Menurutnya lagi, pada masa akan datang, suruhanjaya itu merancang mengadakan lebih banyak acara untuk mempromosikan produk Pakistan, termasuk pelancongan, kebudayaan dan makanan.

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah sagu hati kepada Persatuan Wanita Pakistan yang memeriahkan lagi acara dengan mempamerkan pelbagai barangan seperti pakaian tradisional, permainan dan juga permaidani hasil sulaman tangan dari negara itu.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan menyampaikan hadiah dan sijil kepada para peserta yang menyertai pameran berkenaan.
Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan menyampaikan hadiah dan sijil kepada para peserta yang menyertai pameran berkenaan.
Antara yang hadir semasa majlis penutup Pameran Budaya Dan Pelancongan Republik Islam Pakistan.
Antara yang hadir semasa majlis penutup Pameran Budaya Dan Pelancongan Republik Islam Pakistan.
Antara pameran tradisional Pakistan yang dipamerkan.
Antara pameran tradisional Pakistan yang dipamerkan.

ARTIKEL YANG SAMA