Pameran Kerjaya sempena Konvo UTB

Pameran Kerjaya sempena Konvo UTB

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Nov – Sembilan buah syarikat, industri dan agensi kerajaan menyertai Pameran Kerjaya Sempena Pesta Konvo Universiti Teknologi Brunei (UTB) ke-3 yang berlangsung di Blok Kejuruteraan, Fasa 3 UTB, hari ini.

Antara yang menyertai pameran berkenaan adalah Bank Baiduri, Technical Equipment Maintenance Division (TEMD), PUJA, Sphier Sdn Bhd, Armtrix Enterprise, Crescent Sdn Bhd, Syarikat Minyak Brunei Shell, Dotroot Technologies dan Slingmax Sdn Bhd.

Perasmian pameran anjuran bersama Bimbingan Kerjaya, Unit di bawah Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar UTB itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTB, Profesor Madya Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

Di majlis pelancaran Pameran Kerjaya UTB itu, Pegawai Kerjaya dan Pegawai Pendidikan, Dayang Halimah binti DSP Kassim menjelaskan antara lain tujuan pameran ini adalah untuk memberi peluang kepada industri menarik graduan dan pelajar yang berkemahiran termasuk pencari kerja selain mendedahkan pelajar dan bakal pelajar mengenai laluan kerjaya yang berkaitan dengan bidang pengajian dan minat masing-masing.

“Pameran ini juga berguna bagi mempersiapkan diri untuk memasuki alam pekerjaan kerana antara faktor utama yang menyebabkan seseorang graduan tidak mendapat tawaran pekerjaan adalah disebabkan resume diri yang tidak mempunyai maklumat lengkap,” tambahnya.

Profesor Madya Dr Hajah Zohrah merasmikan Pesta Kerjaya UTB.
Profesor Madya Dr Hajah Zohrah merasmikan Pesta Kerjaya UTB.
Profesor Madya Dr Hajah Zohrah mengadakan lawatan ke pesta kerjaya tersebut.
Profesor Madya Dr Hajah Zohrah mengadakan lawatan ke pesta kerjaya tersebut.

Beliau seterusnya menambah, sepanjang pameran ini, selain pameran kerjaya beberapa aktiviti penting juga diadakan termasuk ceramah kerjaya, ceramah keusahawanan dan bengkel temuduga yang dikelolakan oleh Pusat Perhubungan, Komunikasi, Pengajaran dan Pembelajaran (CCTL).

Sementara itu, wakil dari Crescent Sdn Bhd, Awang Abdul Adi Hakim bin Yakob yang sempat ditemui menjelaskan, Crescent menawarkan kursus secara online yang pada masa ini lebih menumpukan kepada kursus perakaunan dan simpan kira.

“Kursus yang ditawarkan oleh Crescent ini diiktiraf oleh United Kingdom dan Kementerian Pendidikan”, tambahnya.

Katanya lagi, mereka turut menyediakan kursus perakaunan di mana ia boleh membantu, kerana pada masa ini perakaunan dilihat lebih utama berbanding simpan kira, tetapi secara keseluruhannya, syarikat memerlukan lebih ramai penyimpan buku (book keeper) berbanding akauntan.

ARTIKEL YANG SAMA