Pameran Majlis Ilmu sehingga 15 Nov ini

Pameran Majlis Ilmu sehingga 15 Nov ini

Oleh Siti Nur Wasimah S & Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Pameran Majlis Ilmu tahun ini (MajllEx2015) yang diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas sehingga 15 November depan, memberi pencerahan tentang ‘Wasatiah’ dari perspektif Islam.

Ia mengetengahkan aspek-aspek seperti akidah dan pemikiran, pentadbiran, perhubungan, perundangan, perindustrian, perekonomian, kesihatan dan perubatan, kewangan dan perbankan, pendidikan, sumber tenaga manusia dan lain-lain yang berkaitan dengan tema Majlis Ilmu 2015 iaitu ‘Wasatiah Asas Kesejahteraan Sejagat’.

Dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, pameran berkenaan membawa moto ‘Menjadi Ummatan Wasatan’.

Ia membantu memberikan ilmu dan maklumat yang menterjemahkan Wasatiah yang tersirat di dalamnya dengan tujuan untuk menonjolkan kebenaran Islam sebagai agama Wasatiah dan Wasatiah sebagai jati diri umat Islam di samping menerangkan konsep dan definisi ilmiah Wasatiah.

Pameran ini telah dibahagikan kepada 13 bidang yang terdiri daripada Perkembangan Penulisan Al-Quran, Melayu Islam Beraja, Akidah dan Pemikiran, Pendidikan, Kewangan Islam, Media dan Penyebaran Maklumat, Pelancongan Islam, Perundangan Islam, Sosial, Belia dan Masyarakat, Perhubungan Antarabangsa, Ekonomi dan Perniagaan, Dalam Kerjaya, Sumber Tenaga Manusia dan Kesihatan dan Perubatan.

Pameran MajllEx2015 juga disertai oleh beberapa kementerian-kementerian, jabatan-jabatan, institusi-institusi serta agensi-agensi swasta.

Di samping itu, pameran ini turut menampilkan aktiviti sampingan iaitu Sudut Kuiz Interaktif, yang mana soalan-soalan yang diberikan berpandukan daripada maklumat dari kotak pameran yang disediakan.

Kuiz ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Bahagian Kuiz Orang Ramai, Bahagian Kuiz Sekolah-Sekolah Menengah dan Institusi dan Bahagian Kuiz Sekolah Rendah.

Pameran sempena Majlis Ilmu 2015 ini diharap akan dapat mencapai matlamat serta peranannya di dalam memberikan penjelasan terhadap tema Sambutan Majlis Ilmu 2015 iaitu ‘Wasatiah Asas Kesejahteraan Sejagat’.

Ia juga diharap akan dapat memberikan serta meningkatkan ilmu pengetahuan dan kefahaman orang awam akan definisi serta konsep wasatiah yang betul menurut perspektif Islam.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan datang dan mengunjungi pameran ini yang dibukakan pada jam 8 pagi sehingga 5 petang di Dewan Serba Guna, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

ARTIKEL YANG SAMA