Pameran Manuskrip Jawi dan Al-Quran berusia 400 tahun

Pameran Manuskrip Jawi dan Al-Quran berusia 400 tahun

KUALA KANGSAR, 24 April – Orang ramai berpeluang menyaksikan dua buah manuskrip tua – Al-Quran berusia antara 300 hingga 400 tahun dan sebuah manuskrip jawi tulisan tangan dari Nusantara – sempena perayaan Maulid Kubra di Dewan Jubli Perak, di sini, mulai kelmarin hingga hari ini.

Pengurus Yayasan Kebajikan Anak-Anak Kuala Kangsar Azizul Rahim Abdul Rahman berkata manuskrip Al-Quran dan manuskrip jawi itu masing-masing merupakan tulisan tangan oleh Sheikh Nurudin Al-Raniri dan Sheikh Daud Al-Fatani.

“Kita memperoleh manuskrip Al-Quran dan manuskrip jawi tulisan tangan daripada simpanan sebuah sekolah Pondok Ahamadiah Islamik, Kampung Wakaf Anak Aya Daerah Jeringa, Narathiwat, Thailand,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata sebuah manuskrip ‘Rahsia Keris’ yang ditulis atas kulit kambing dan sebuah manuskrip ‘Sakaratul Maut’ kedua-duanya berusia 300 tahun turut dipamerkan.

“Sebuah manuskrip Kitab Fiqah tulisan tangan berusia 700 tangan oleh Sheikh Daud Al-Fatani juga menjadi tarikan,” katanya.

Azizul Rahim Abdul Rahman (kiri) menunjukkan manuskrip Al-Quran tulisan tangan tertua di Nusantara sempena perayaan Maulid Kubra di Dewan Jubli Perak. – Bernama
Azizul Rahim Abdul Rahman (kiri) menunjukkan manuskrip Al-Quran tulisan tangan tertua di Nusantara sempena perayaan Maulid Kubra di Dewan Jubli Perak. – Bernama

Azizul Rahim berkata manuskrip-manuskrip berkenaan telah dihasilkan sekitar tahun 1636 hingga 1641 Masihi di atas kulit kayu.

Tujuan program itu diadakan bagi mengembalikan kegemilangan Melayu Islam di negara ini di samping memartabatkan institusi raja di bandar Diraja ini, kata beliau.

Azizul Rahim berkata pihaknya juga sedang dalam perancangan untuk mengadakan sebuah lagi pameran Al-Quran berusia 1,000 tahun di sini, pada tahun depan. – Bernama