Pameran memperingati hubungan Rusia-Brunei dilancarkan

Pameran memperingati hubungan Rusia-Brunei dilancarkan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, hari ini, telah berkenan berangkat dan seterusnya melancarkan Pameran ‘Russia: Beauty in Diversity’ di Galeri Seni, Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan yang diadakan bagi memperingati ulang tahun hubungan diplomatik Rusia-Brunei ke-25 tahun.

Keberangkatan tiba Yang Teramat Mulia telah dijunjung oleh Duta Rusia ke Negara Brunei Darussalam, Vladlen Stanislavovich Semivolos.

Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Vladlen Stanislavovich Semivolos dalam ucapannya menyatakan bahawa pameran ini diadakan dengan kerjasama dan sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta Jabatan Muzium-muzium Brunei.

Beliau turut melahirkan perasaan gembira kerana pada tahun-tahun kebelakangan ini hubungan kerjasama Rusia-Brunei telah meningkat dalam pelbagai bidang yang berbeza.

YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan merasmikan Pameran ‘Russia: Beauty in Diversity’.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan merasmikan Pameran ‘Russia: Beauty in Diversity’.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan bergambar ramai dengan Vladlen Stanislavovich Semivolos serta isteri dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan bergambar ramai dengan Vladlen Stanislavovich Semivolos serta isteri dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan menyaksikan  Pameran ‘Russia: Beauty in Diversity’.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna berkenan menyaksikan Pameran ‘Russia: Beauty in Diversity’.

Pameran ini, jelas beliau, turut mempamerkan lawatan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Rusia bagi Persidangan Rusia-ASEAN dan Mesyuarat Dua Hala bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Mei lalu.

Menurut beliau, lawatan berkenaan begitu signifikan kerana ia membantu meningkatkan lagi hubundan di antara Rusia dan Brunei.

“Sebahagian besar daripada pameran ini mencerminkan tarikh-tarikh bersejarah yang berkaitan dengan penubuhan hubungan dua hala kedua-dua buah negara khususnya semasa mesyuarat rasmi pertama bagi kedua-dua pemimpin di Bandar Seri Begawan semasa sidang kemuncak APEC pada tahun 2000 yang membuka lembaran baru dalam kerjasama antara Rusia dan Brunei,” jelas Vladlen Stanislavovich Semivolos.

Ujar beliau lagi, pameran ini akan memberikan peluang kepada orang ramai yang berkunjung untuk memahami lagi kepelbagaian tradisi dan budaya Rusia.

Selain mempamerkan gambar-gambar mengenai hubungan dua hala Rusia-Brunei, pameran itu turut mempamerkan seni bina Rusia dan tarikan semula jadi serta pakaian kebangsaan negara tersebut.

Turut dipamerkan adalah objek seni rakyat tradisional Rusia yang terdiri daripada Matryoshkas (anak patung bersarang) yang terkenal di dunia, Gzhel Porselin dan dulang logam Zhostovo, Khokhloma Crockeries, kotak barang kemas Palekh dan selendang Pavlov Posad.

Selain itu, pameran turut mempamerkan ulang tahun ke-55 bagi penerbangan pertama ke angkasa dalam sejarah yang telah dibuat oleh angkasawan Rusia, Yuri Gagarin.

Sehubungan itu, orang ramai yang berminat bolehlah berkunjung ke Galeri Seni, Dermaga Diraja Bandar Seri Begawan bermula hari ini sehingga 27 November nanti, yang dibuka bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang setiap Isnin sehingga Khamis, manakala hari Sabtu dibuka bermula jam 9.30 pagi sehingga 11.30 pagi dan Jumaat serta Ahad dari 2.30 petang sehingga 5 petang.

ARTIKEL YANG SAMA