Pameran ‘Mengenang Kembali Belait’

Pameran ‘Mengenang Kembali Belait’

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 28 Julai – Pameran Fotografi Sentral 2016 yang membawa tema ‘Mengenang Kembali Belait’ hari ini membuka tirainya untuk kunjungan orang ramai di kawasan Atrium Pusat Membeli-Belah KBSentral, di sini, di mana ia akan berlangsung selama 10 hari sehingga 7 Ogos.

Perasmian pameran berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar selaku tetamu kehormat majlis.

Pameran anjuran Pusat Membeli-belah KBSentral dengan kerjasama Jabatan Penerangan serta Arkib Negara Jabatan Muzium itu diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun.

Orang ramai terutamanya para pengunjung KBSentral akan berpeluang menyaksikan pameran tersebut yang bertujuan untuk membangkitkan kenangan keberangkatan Baginda Sultan ke Daerah Belait, serta mempamerkan gambar-gambar sejarah Pekan Belait yang lama serta kenangan semasa Majlis Junjung Ziarah Ramah Mesra Bersama Rakyat Baginda Sultan ke daerah ini.

Di samping itu, ianya juga bertujuan untuk menggambarkan keprihatinan dan sumbangan kerajaan Baginda Sultan ke arah meningkatkan taraf hidup penduduk di daerah ini serta pembangunan daerah ini sebagai sebuah kota minyak yang seterusnya mencerminkan pembangunan progresif Negara Brunei Darussalam secara keseluruhannya.

Perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan.
Perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan.

Dayang Abby sebagai mewakili Pengurusan Hartanah KBSentral, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, pameran tersebut juga dihasratkan sebagai penglibatan dengan masyarakat setempat supaya mereka boleh menunjukkan rasa penghargaan dan kasih sayang terhadap Baginda Sultan atas penambahbaikan dan kemajuan dalam sistem pendidikan, perkembangan pertahanan dan keselamatan, kesihatan, kebajikan dan khidmat masyarakat dan sebagainya.

Bercakap tentang pembangunan, menurut beliau lagi, mereka telah mencapai kejayaan dalam menyumbang ke arah pembangunan Daerah Belait, dengan tambahan Sentral Residence and Services Apartment, sambil berkata “dengan tambahan ini bersama-sama dengan Pusat Membeli-Belah KBSentral kami bermatlamat untuk bergerak ke hadapan yang selaras dengan Wawasan Negara 2035 untuk membawa masuk perumahan moden dan pembangunan perniagaan di negara ini”.

Beliau seterusnya merakamkan penghargaan kepada para penaja sehingga berjaya mengadakan majlis tersebut, antaranya Interhouse Company, pengedar tunggal Canon dan Sekolah Menengah Sayyidina Ali Kuala Belait.

Majlis turut menyaksikan penyampaian pidato oleh salah seorang ahli Persatuan Pembela Belait.

Pameran akan dibukakan daripada pukul 10 pagi hingga 9 malam sepanjang tempoh ia diadakan.