Pameran mini masakan dan kuih-muih

Pameran mini masakan dan kuih-muih

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 19 Nov – Bahagian Pendidikan Komuniti (BPK) Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), cawangan Daerah Belait, hari ini, telah mengadakan Pameran Mini Masakan dan Kuih-muih Hasil Kerja Pelajar Skim Masakan di Sekolah Rendah Mohamad Alam, di sini.

Pameran yang dikendalikan oleh tenaga pengajar kelas lanjutan masakan, Hajah Hadijah binti Mohamed itu antara lain bertujuan untuk menyerlahkan kemahiran para pelajar kelas itu, di mana hasil masakan dan kuih-muih yang dipamerkan turut dipertandingkan bagi meningkatkan lagi semangat pelajar dalam usaha menambahkan kemahiran mereka.

Majlis berkenaan turut diselajurkan dengan bacaan Doa Selamat bagi bekas Ketua Pelajaran Lanjutan, Hajah Erie binti Abdullah, dan turut bertujuan untuk mengeratkan ikatan silaturahim antara tenaga pengajar dan pelajar.

Hajah Erie bergambar ramai bersama pelajar-pelajar dan pegawai-pegawai BPK, IBTE.
Hajah Erie bergambar ramai bersama pelajar-pelajar dan pegawai-pegawai BPK, IBTE.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Hajah Erie menyeru supaya para pelajar yang menyertai kelas lanjutan masakan akan dapat memanfaatkan pengetahuan mereka untuk membantu menjana ekonomi dan jika dilakukan secara bersungguh-sungguh boleh menjadikannya sebagai perusahaan yang memang menjadi permintaan ramai.

“Ia boleh dijadikan sebagai pendapatan sampingan selain ia juga boleh menjadi keperluan bersama keluarga di rumah,” tambah beliau.

Selain itu, beliau melahirkan harapan agar pameran yang diadakan itu dapat menjadi inspirasi kepada semua tenaga pengajar di daerah lain.

Dalam pada itu, beliau menambah penyertaan dalam kelas masakan juga merealisasikan moto bahagian berkenaan iaitu ‘Belajar Tidak Mengenal Usia’.

ARTIKEL YANG SAMA