Pameran patung budaya Jepun

Pameran patung budaya Jepun

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Lebih 60 jenis patung Jepun yang mengenakan pakaian tradisional negara itu dipamerkan dalam Pameran Patung-patung Jepun yang diadakan di ruang lobi Muzium Teknologi Brunei bermula hari ini, di sini.

Pameran yang dibukakan untuk kunjungan orang ramai sehingga 9 September itu dilancarkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Kurator Ilmu Kejadian di Jabatan Muzium-muzium, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Omar Ali.

Yang Berhormat Pehin ketika ditemui sejurus selesai majlis perasmian pameran itu menjelaskan, dengan adanya pameran seumpama ini, ia secara tidak langsung memberi pengetahuan dan pendidikan kepada generasi muda untuk menghargai budaya dan khazanah negara.

Menurutnya, “Jepun memang kaya dengan khazanah budaya mereka dan dengan pameran yang dianjurkan oleh negara itu, Brunei akan dapat menjadikan contoh untuk menzahirkan dan mempamerkan pakaian-pakaian lama dan baju-baju tradisi Brunei,” tambahnya.

Tetamu kehormat bersama Noriko Iki ketika menyaksikan pameran tersebut.
Tetamu kehormat bersama Noriko Iki ketika menyaksikan pameran tersebut.
YAM Pengiran Muda Omar Ali ketika mendengarkan penerangan mengenai salah satu patung yang dipamerkan.
YAM Pengiran Muda Omar Ali ketika mendengarkan penerangan mengenai salah satu patung yang dipamerkan.

Beliau seterusnya menjelaskan, dalam memperkenalkan budaya negara Brunei ke negara luar, beberapa kemajuan telah dilaksanakan pada masa ini oleh pihak kementerian sendiri.

Pada majlis itu, Duta Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Noriko Iki dalam ucapan alu-aluannya berkata, “Pameran Patung-patung Jepun yang mengenakan pakaian tradisi daripada pelbagai jenis karakter itu, turut mempamerkan patung Hina Ningyo iaitu patung bagi Festival Perempuan dan Gogatsun Ningyo iaitu patung untuk Festival Lelaki.

“Ini termasuklah patung-patung yang berkaitan dengan seni persembahan tradisional seperti Noh, Bunraku dan Kabuki,” jelasnya.

pg05_160817_d

Antara patung-patung yang dipamerkan dalam Pameran Patung-patung Jepun yang dianjurkan oleh Jabatan Muzium-muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Antara patung-patung yang dipamerkan dalam Pameran Patung-patung Jepun yang dianjurkan oleh Jabatan Muzium-muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Beliau seterusnya menambah, pameran ini juga memperlihatkan patung-patung serantau di seluruh negara itu dan anak patung kontemporari yang dihasilkan oleh karyawan.

Menurutnya, dalam budaya tradisional Jepun, patung memegang kedudukan penting sejak zaman purba di mana dalam erti kata lain Jepun menikmati anak patung yang kaya dengan budaya.

Katanya lagi, “Terdapat pelbagai jenis patung dan setiap patung itu mempunyai maksud tersendiri dan tujuan yang mendalam berhubung dengan kehidupan seharian.”

Pameran yang dianjurkan oleh Jabatan Muzium-muzium, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kedutaan Jepun dan Yayasan Jepun ini merupakan Pameran Jelajah Yayasan Jepun di mana sebelum ini telah diadakan di Korea Selatan diikuti Negara Brunei Darussalam dan selepas ini, pameran ini akan memberi peluang kepada rakyat di New Delhi, India untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi budaya negara Matahari Terbit itu.

ARTIKEL YANG SAMA