Pameran Pelancongan pikat pengunjung Singapura ke Malaysia

Pameran Pelancongan pikat pengunjung Singapura ke Malaysia

SINGAPURA, 16 Okt (Bernama) – Rakyat Singapura mempunyai sebab baharu untuk mengunjungi semula Malaysia dengan pengenalan dua pakej pelancongan baharu pada pelancaran Pameran Pelancongan Malaysia Siri II di Pusat Konvensyen dan Ekspo, Singapura di sini hari ini.

Dirasmikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, pakej pelancongan baharu itu bertujuan mempromosikan Perak sebagai pilihan destinasi baharu kepada rakyat Singapura yang telah mengenali Johor, Melaka dan Kuala Lumpur.

Pakej I@venturous menawarkan aktiviti eko-pengembaraan kepada pengunjung di Gopeng, manakala Moasangking@Ipoh merupakan pakej makanan khusus kepada mereka yang menggemari buah durian.

Peta ibu negeri Perak, Ipoh, turut dilancarkan, yang menyediakan kaedah menyeronokkan kepada pelancong untuk meneroka banyak tarikan menarik di bandar raya itu.

Dalam ucapannya, Mohamed Nazri berkata terdapat permintaan daripada rakyat Singapura untuk destinasi baharu di Malaysia, seperti Perak, dengan peningkatan hubungan ke Ipoh melalui Tiger Air, Malindo Air dan Firefly.

“’Pengalaman Perak’ menawarkan banyak sejarah, kaya dengan alam semula jadi, warisan dan beberapa makanan dan masakan terbaik di Malaysia kepada pelancong. Ia adalah permata negeri yang menunggu untuk diterokai oleh rakyat Singapura,” katanya.

Menteri turut memuji Express & Excursion Bus Association (EEBA) bagi usaha berterusannya membantu Malaysia meningkatkan ketibaan pelancong dari Singapura semasa cuti sekolah akhir tahun melalui Pameran Pelancongan Malaysia.

“Komitmen sedemikian yang ditunjukkan oleh EEBA sejak 10 tahun lalu boleh diteladani serta harus dipuji dan dihargai,” katanya.

Anjuran IBT Investment Pte Ltd dan mendapat sokongan EEBA dan Tourism Malaysia, Travel Malaysia 2015, diadakan dari Jumaat hingga Ahad, merupakan pameran pelancongan dan pengguna terbesar di Singapura yang mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dan unik.

Lebih 120 gerai pameran dan hampir 40 peserta pameran mengambil bahagian dalam acara selama tiga hari itu.

Mereka termasuk ejen tiket bas ekspres, ejen pelancongan, pengendali pusat peranginan, pemilik inap desa, produk gaya hidup, agensi pelancongan negeri, vendor makanan dan penggiat utama dalam industri pelancongan.

Pengunjung akan dihiburkan dengan pertunjukan pentas oleh Hello Kitty dan Angry Bird, dan persembahan muzik tradisional daripada Aura Maltra. Singapura merupakan pasaran pelancong utama Malaysia.

Pada tahun lepas, ketibaan pelancong Singapura ke Malaysia ialah 13.9 juta, pertumbuhan sebanyak 5.7 peratus. Bagaimanapun, jumlah itu turun 8.6 peratus pada tiga bulan pertama 2015.