Pameran pelbagai model kereta 7 April ini

Pameran pelbagai model kereta 7 April ini

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Penggemar dan penggiat kelab kereta di negara ini pasti akan tertarik dengan pameran pelbagai jenis kereta, termasuk kereta mewah (supercar) serta motosikal berkuasa tinggi yang akan berlangsung pada 7 hingga 10 April 2016 di kawasan terbuka Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara.

Penganjur Pameran Motoring BN Auto Show 2016, CONFEX, juga mengundang beberapa pengedar kereta utama di negara ini yang akan melancarkan model-model kereta terkini bagi kemudahan para pengunjung yang bercadang untuk memiliki kereta baru.

Bercakap kepada pemberita pada persidangan media di Bilik Persidangan CONFEX di Jalan Sultan di ibu negara hari ini, Pengurus Projek CONFEX, Awang Rosli bin Abdullah berkata, antara tetamu kenamaan yang akan hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara,Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin dan beberapa tokoh kenamaan lain.

Menurutnya, turut menanti para pengunjung ialah beberapa aktiviti sampingan termasuk aktiviti kekeluargaan dan kanak-kanak, pameran promosi iCare Brunei, promosi pakej eksklusif daripada Bank Baiduri dan promosi oleh TyreMart.

Beliau berkata, pameran kereta itu disertai 12 buah kelab kereta dan kelab motosikal berkuasa tinggi serta kelab-kelab kereta yang bernaung di bawah syarikat-syarikat pengedar kereta tempatan.

Awang Rosli (tengah) bersama tenaga penggerak CONFEX memegang brosur Motoring BN Auto Show dan Majalah Motoring BN.
Awang Rosli (tengah) bersama tenaga penggerak CONFEX memegang brosur Motoring BN Auto Show dan Majalah Motoring BN.

Sementara itu, serentak dengan pelancaran Motoring BN Auto Show 2016, CONFEX juga akan melancarkan majalah permotoran terbitan CONFEX, Motoring BN, yang kini memasuki penerbitan edisi keempat.

Ketika bercakap mengenai pelancaran Majalah Motoring BN, Penolong Penyelaras Editorial, Awang Redzwan Kamarudin berkata, majalah yang diterbitkan empat kali setahun itu menerbitkan edisi pertamanya pada tahun lalu.

Kandungan editorialnya memfokuskan kepada gaya hidup moden masa kini yang padat dengan trend dan maklumat terkini mengenai model kereta dan motosikal berkuasa tinggi, menurut perspektif Brunei.

Pelancaran majalah permotoran itu adalah sebahagian daripada kemuncak Pameran Motoring BN Auto Show 2016 bagi menyambut ulang tahun pertama penerbitannya.

Hari pertama dan kedua pameran kereta itu yang dinamakan Hari Pameran Pengedar Kereta (Dealer Showcase Days) memberikan tumpuan kepada para pengunjung yang ingin membeli kereta idaman mereka dan meninjau aktiviti-aktiviti khusus yang diadakan oleh syarikat-syarikat pengedar kereta tempatan.

Manakala itu, pameran pada hari ketiga dan keempat pula dinamakan Hari Pameran Umum (Public Display Days) yang memuatkan aktiviti-aktiviti untuk seisi keluarga yang antaranya pameran kereta dan motosikal berkuasa tinggi daripada kelab permotoran tempatan.

Salah sebuah rakan strategik penganjuran pameran itu The Collective, juga akan menganjurkan pesta besar-besaran yang melibatkan penyertaan sekitar 40 hingga 50 pengusaha kecil dan sederhana yang akan menyediakan aktiviti mereka sendiri.

Pameran Motoring BN Auto Show 2016 akan dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan masuk adalah percuma.

ARTIKEL YANG SAMA