Pameran persahabatan ke Daerah Tutong

Pameran persahabatan ke Daerah Tutong

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Nov – Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan James Cook University, Australia, meneruskan lagi Jelajah Daerah bagi Pameran Persahabatan Stories Through Memories: 70 Years of Friendship dengan tumpuan kali ini di Daerah Tutong yang diadakan di Dewan Serba guna Dewan Bahasa dan Pustaka, di sini.

Pelancaran pameran berkenaan telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Penghulu Mukim Keriam, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera Dato Paduka Haji Mohammad Taha bin Abdul Rauf selaku tetamu kehormat majlis yang turut meninjau pameran berkenaan.

Turut hadir pada majlis pelancarannya ialah Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Todd Mercer.

Dr. Maslin bin Haji Jukin/Jukim dari UBD, semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata pelbagai perspektif dan pengetahuan dapat diperolehi daripada pameran berkenaan kerana selama ini kita mempunyai beberapa sekatan daripada segi garis masa dan persekitaran ketika pendudukan Jepun.

“Kadangkala kita sedih apabila menyedari mendiang datuk nenek kita yang tidak dapat menceritakan kisah dan pengalaman mereka kepada para pengkaji. Oleh itu, dengan pameran ini, semuanya dapat mengenang semula mengenai masa lampau dan mengongsikan kisah-kisah mereka kepada generasi muda.

Tuan Yang Terutama Todd Mercer (tiga dari kiri) turut menghadiri majlis perasmian pameran berkenaan bersama Yang Berhormat Haji Mohammad Taha (empat dari kiri).
Tuan Yang Terutama Todd Mercer (tiga dari kiri) turut menghadiri majlis perasmian pameran berkenaan bersama Yang Berhormat Haji Mohammad Taha (empat dari kiri).

pg13_151119_b

Dr. Maslin (kanan) ketika menjelaskan mengenai pameran berkenaan kepada Yang Berhormat Haji Mohammad Taha.
Dr. Maslin (kanan) ketika menjelaskan mengenai pameran berkenaan kepada Yang Berhormat Haji Mohammad Taha.

“Kami gembira jika terdapat lebih banyak cerita yang boleh dikongsikan dengan kami supaya ia dapat didokumentasikan. Ini boleh menjadi bahan-bahan yang kami dapat kumpulkan dan sediakan bagi penyelidik-penyelidik baru,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, orang ramai akan dapat rasakan pengalaman seperti berada dalam situasi berkenaan atau sekurang-kurangnya menggambarkan pengalaman mereka semasa Pendudukan Jepun.

“Bagaimanapun, kali ini anda akan dapat melihat pelbagai ekspresi daripada wajah mereka, nada suara mereka, gelak ketawa dan kesedihan mereka yang diluahkan daripada kotak ingatan mereka yang tersimpan selama 70 tahun,” tambah Dr. Maslin.

Pameran ini merupakan kesinambungan daripada Pameran Operasi Oboe yang telah diadakan di Kompleks Bumiputera, Temburong, minggu lalu.

Ia mempamerkan gambar-gambar yang diambil semasa Kempen Borneo Operasi Oboe yang telah diketengahkan oleh Arkib Memorial Perang Jepun.

Selain daripada itu, cerita-cerita daripada warga emas tempatan yang melalui sendiri zaman pendudukan Jepun turut dirakam oleh ahli-ahli akademik Australia iaitu Dr. Janet Marles dari James Cook University dan Dr. Maslin, juga dengan bantuan daripada mahasiswa-mahasiswi UBD.

Cerita-cerita berkenaan boleh disaksikan menggunakan pembentangan media digital pada pameran berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA