Pameran Produk Halal Thailand September ini

Pameran Produk Halal Thailand September ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Bagi mempromosikan kesedaran mengenai kapasiti produk Halal Thailand kepada penduduk Brunei, Kedutaan Besar Diraja Thailand di sini akan mengadakan Pameran Produk Halal Thailand di Pusat Membeli-Belah Times Square pada 4 hingga 6 September ini.

Pameran yang juga bertujuan sebagai platform bagi kerjasama lebih rapat dan perbincangan mengenai inovasi halal dengan pihak Brunei selaras dengan hasil lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand ke Brunei Darussalam Mac lalu, itu juga akan diikuti dengan seminar mini di Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama pada 7 September.

Menurut kenyataannya hari ini, Kedutaan Diraja Thailand dengan kerjasama Pusat Sains Halal di Chulalongkorn University, Institut Standard Halal Thailand, Majlis Islam Pusat Thailand, Jabatan Promosi Perindustrian dan Bank Islam Thailand telah memilih para peserta dari Thailand untuk mempamerkan dan menjual produk halal mereka semasa pameran berkenaan.

Sepanjang pameran itu, orang ramai akan berpeluang untuk menyaksikan dan mendapatkan pelbagai produk halal yang berkualiti seperti sos cili, produk-produk dalam tin, makanan beku, snek, produk herba dan kosmetik.

Perasmian pameran itu nanti akan disempurnakan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke pameran berkenaan yang akan dibuka dari pukul 10:00 pagi hingga 10:00 malam kecuali pada hari pelancarannya (4 September) yang akan dibuka dari 2:30 petang hingga 10:00 malam.

ARTIKEL YANG SAMA