Pameran Produk Maritim Indonesia 3 Sept

Pameran Produk Maritim Indonesia 3 Sept

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-71, Kedutaan Besar Republik Indonesia di negara ini akan mengadakan ‘Pameran Produk Maritim Indonesia 2016’ yang akan diadakan di The Mall, Gadong bermula 3 hingga 5 September ini.

Pameran yang akan bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu nanti akan mempamerkan produk-produk termasuk fesyen pakaian Islam dan batik, makanan ringan, makanan herba, aksesori, kraf tangan dan juga produk kulit.

Di samping itu, pada pameran itu nanti juga akan diadakan persembahan kebudayaan Indonesia.

Dijangka hadir bagi merasmikan pameran itu nanti ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

Sehubungan itu, Kedutaan Besar Republik Indonesia menjemput orang ramai untuk mengunjungi pameran yang julung kali diadakan di negara ini.

Untuk keterangan lanjut mengenai pameran berkenaan, orang ramai boleh menghubungi Kedutaan Besar Republik Indonesia di talian 2330180.

ARTIKEL YANG SAMA