Pameran Rumah dan Gaya Hidup di KBSentral

Pameran Rumah dan Gaya Hidup di KBSentral

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 18 Jan – Sebagai sebahagian daripada rancangan pada tahun baru ini, Pusat Membeli-belah KBSentral akan mengadakan Pameran Rumah dan Gaya Hidup bermula 21 hingga 24 Januari 2016.

Dalam pameran ini, yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 10 malam, Syarikat Kozin Real Estate Sdn Bhd dan Proland Realty akan mengetengahkan projek-projek hartanah terkini mereka di Australia dan Brunei.

Bagi kebanyakan pemilik rumah, keselamatan adalah salah satu ciri yang penting, oleh itu, pada pameran itu nanti, LinkTech Sdn Bhd akan memperkenalkan teknologi AHD CCTV dan sistem keselamatan terbaru mereka yang menjamin perlindungan untuk penggunaan di rumah dan pejabat.

Manakala itu, Loft & Homes Co bersama-sama dengan Syarikat Fabrica akan mengambil bahagian dalam acara ini bagi memaparkan kemewahan perabot-perabot dari Perancis dengan jenama moden yang telah direka dengan pelbagai bentuk yang bergaya, iaitu Ligne Roset, direka khas untuk pelanggan.

Salah seorang pelanggan mengunjungi petak BIBD.
Salah seorang pelanggan mengunjungi petak BIBD.

Selain daripada itu, pengunjung juga boleh melihat peralatan dapur dan rumah di Jaya Hypermart pada harga yang berpatutan untuk musim perayaan akan datang.

Di samping itu, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) juga akan berada di sana untuk menawarkan produk dan perkhidmatan mereka, manakala Takaful Brunei Keluarga akan memberi peluang kepada pelanggan untuk mendapatkan perlindungan kemalangan untuk keluarga.

Cabutan bertuah juga akan diadakan pada hari keempat pameran dan untuk menyertainya, pelanggan hanya perlu berkunjung ke sana dan dapatkan khiidmat nasihat daripada mana-mana syarikat yang menyertai pameran itu.

Setiap lawatan ke pondok-pondok pameran tersebut akan melayakkan pelanggan untuk mendapat satu kad cap yang dicap bagi setiap khidmat nasihat yang diperolehi. Pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi seperti penginapan satu malam di Hotel KBSentral, peralatan elektrik dan baucar makan.

Dalam masa yang sama, sepanjang empat hari pameran itu, pelbagai aktiviti menarik juga diadakan untuk menghiburkan kanak-kanak seperti peraduan mewarna, peraduan meneka, permainan merebut kerusi mengikut muzik, kemunculan maskot Minion dan juga permainan gergasi ‘Snake And Ladder’ di tingkat atas KBSentral.

Pengurus Pemasaran KB-Sentral, Awang Sim Poh Fatt berkata, pameran kali ini berbeza berbanding tahun lalu, kerana akan mengetengahkan syarikat-syarikat yang mengendalikan reka bentuk dalaman rumah serta perabot.

Bagi pelanggan yang berminat untuk mengetahui maklumat lanjut boleh melayari laman Facebook (KB Sentral Shopping Centre) dan instagram (@kbsentral).

ARTIKEL YANG SAMA