Pameran Sambutan Hari Guru

Pameran Sambutan Hari Guru

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail, Mohd Asyramisyanie Kamis & Sim Y.H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Projek ‘Sejuta Kalimah Allah’ merupakan antara pameran istimewa yang terdapat dalam Pameran Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam ke-25 Tahun 2015 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Brunei di Berakas, hari ini.

Projek yang dicetuskan oleh seorang pelukis tanah air, Awang Zakaria bin Omar melalui Zakaria Omar Arts Foundation itu bertujuan untuk menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam apabila Baginda Sultan memberigakan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.

Menurutnya, sehingga pukul 10 pagi hari ini, beliau telah berjaya mengumpulkan lebih 50,000 kalimah ‘Allah’ daripada kalangan guru dan kakitangan Kementerian Pendidikan yang hadir,

Pameran ‘Sejuta Kalimah Allah’ adalah salah satu daripada lebih 13 petak pameran sambutan Hari Guru kali ini dan bertepatan dengan temanya ‘Guru Pemangkin Insan Berwawasan’.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan berangkat bercemar duli menyaksikan pameran berkenaan.

Baginda Sultan berkenan melawat salah satu petak pameran di majlis tersebut.
Baginda Sultan berkenan melawat salah satu petak pameran di majlis tersebut.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir berkenan melawat salah satu petak pameran di majlis tersebut.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir berkenan melawat salah satu petak pameran di majlis tersebut.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel ketika diterangkan dengan lebih lanjut mengenai salah satu petak pameran di majlis tersebut.
Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel ketika diterangkan dengan lebih lanjut mengenai salah satu petak pameran di majlis tersebut.

Turut mengiringi keberangkatan Baginda Sultan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain.

Pameran pada tahun ini dibahagikan kepada empat sektor, iaitu Sektor Satu yang mempamerkan petikan titah Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien serta potret, Sektor Dua mempamerkan potret berukuran besar yang menggambarkan potret warna-warni usaha guru, Sektor Tiga ialah pameran Jabatan Pengajian Islam dan Sektor Empat mempamerkan pameran institusi pengajian tinggi.

Media Permata juga sempat menemu bual Ketua Unit Kluster 5 Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman yang berkata, pameran Unit Kluster 5 berkisar mengenai sasaran Kementerian Pendidikan bagi Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) menjelang 2017 bagi gred A, B dan C pada 90 peratus.

Katanya, bermula tahun ini (2015) pihaknya telah memfokuskan lima bidang fokus utama, iaitu kepimpinan, pengajaran dan pembelajaran, kedatangan dan isu sosial, akauntabiliti dan pengurusan prestasi dan pengurusan perubahan bagi mencapai sasaran yang dihasratkan itu.

Awang Zakaria (kiri) bersama para guru yang tampil untuk menulis kalimah ‘Allah’ bagi Projek ‘Sejuta Kalimah Allah’.
Awang Zakaria (kiri) bersama para guru yang tampil untuk menulis kalimah ‘Allah’ bagi Projek ‘Sejuta Kalimah Allah’.

Satu lagi petak pameran yang dikunjungi ialah Unit Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan, yang antaranya mempamerkan seni khat Khufi oleh para pelajar pendidikan khas.

Menurut guru bertugas, Dayang Nadzatul Elmy Lim binti Haji Zaimi Lim dari Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, seni khat Khufi itu dihasilkan oleh para penuntut pra vokasional berkeperluan khas.

Katanya, seni khat Khufi dipilih kerana ia adalah antara khat yang mudah dipelajari oleh para pelajar berkeperluan khas seperti Sindrom Down, Cerebral Palsy, kesukaran menumpukan pelajaran, masalah tingkah laku dan beberapa masalah lain.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran dari Politeknik Brunei, Dayang Amal Umi Hafizah binti Mohd Yusoff yang ditemui di petak pameran institusi pengajian tinggi berkata, bahan pameran adalah hasil projek pelajar tahun akhir Politeknik Brunei yang dinamakan ‘Iman Ku’.

Menurutnya, ‘Iman Ku’ diwujudkan bagi membantu umat Islam di negara ini untuk sentiasa memantau tahap keimanan mereka serta ibadah sembahyang setiap hari melalui catatan sembahyang lima waktu, pengira zikir dan menunjuk tanda kiblat.

Pameran Sambutan Hari Guru ke-25 Tahun 2015 dibukakan kepada orang ramai pada hari ini sehingga pukul 4:30 petang dan pada 26, 28 dan 29 September bermula dari pukul 8 pagi hingga pukul 4:30 petang.

ARTIKEL YANG SAMA