Pameran sempena Hari Guru

Pameran sempena Hari Guru

Oleh Salawati Haji Yahya & Sim. Y.H
Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Majlis Sambutan Hari Guru ke-26 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini, telah dimeriahkan lagi dengan pameran yang menonjolkan pencapaian dan sumbangan guru dalam pelbagai peringkat, mencakupi program-program terkini dan beberapa pencapaian yang membanggakan sama ada di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.

Pameran itu mempamerkan beberapa segmen yang dibahagikan kepada beberapa sektor iaitu yang pertama mempamerkan petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Guru ke-24 dan 100 Tahun Pendidikan Formal.

Sektor kedua pula segmen Syair Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dengan mengetengahkan Syair Laila Hasrat yang dipetik daripada buku Rampaian Laila Syair, 1994.

Seterusnya, Sektor Keringat Bakti pula memaparkan empat petikan sajak hasil karya penulis tempatan dan sajak yang dipilih bersesuaian dengan gambar guru yang memperlihatkan pengorbanan atau penglibatan mereka sama ada di sekolah atau di luar sekolah, khidmat kepada masyarakat dan dalam acara kenegaraan.

 KDYMM berkenan dijunjung berangkat ke pameran sempena Hari Guru.
KDYMM berkenan dijunjung berangkat ke pameran sempena Hari Guru.
DYTM Pengiran Perdana Wazir berkenan menyaksikan Pameran Sambutan Hari Guru ke-26.
DYTM Pengiran Perdana Wazir berkenan menyaksikan Pameran Sambutan Hari Guru ke-26.

Manakala itu, Sektor Murabbi Ukrawi pula memuatkan dua kejayaan yang menjurus kepada pendidikan menuju kepada pendidikan akhirat, termasuk program Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR) dan program hafazan Al-Quran.

Sektor Mutiara Bangsa pula mempamerkan kejayaan yang diraih oleh pelajar hasil daripada usaha dan kesungguhan guru, sementara itu, Sektor Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan Sektor Pengajian Tinggi, masing-masing mengetengahkan penglibatan institusi-institusi berkenaan di arena antarabangsa dan dalam negara.

Sektor Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pula memuatkan projek dan aktiviti yang dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan yang menjurus kepada usaha dalam mempertingkatkan dan memperkembangkan bidang pendidikan melalui penyediaan bantuan pendidikan serta penyelidikan, selain mengendalikan program keilmuan serta menyediakan prasarana dan perkhidmatan pendidikan.

Akhir sekali adalah pameran daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang mempamerkan Program ALAF mereka, dengan menjelaskan mengenai objektif, keramaian pelajar yang didaftarkan bagi setiap pengambilan seterusnya pencapaian dan aktiviti mereka.

ARTIKEL YANG SAMA