Pameran ‘Tohoku’ bermula 11 Feb

Pameran ‘Tohoku’ bermula 11 Feb

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Feb – Kedutaan Jepun di negara ini dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Yayasan Jepun akan mengadakan pameran ‘Tohoku Menerusi Mata Jurugambar Jepun’ bermula 11 Februari hingga 4 Mac depan di Muzium Teknologi Melayu Brunei.

Dalam kenyataannya, Kedutaan Jepun menjelaskan bahawa ia merupakan pameran Jelajah Antarabangsa yang telah dipamerkan di 25 buah negara di seluruh dunia sejak 2012.

Ia menampilkan karya-karya sembilan orang jurugambar persendirian dan juga secara perkumpulan, yang telah mengambil gambar rantau Tohoku, timur laut Jepun, yang terjejas dalam bencana gempa bumi dan tsunami pada Mac 2011.

Menurut kenyataan itu lagi, pameran bertujuan untuk mempromosikan secara positif pemahaman mengenai latar belakang sejarah dan kebudayaan, serta semula jadi rantau Tohoku yang cantik, di samping meningkatkan kesedaran supaya ia diingati, bukan sekadar sebagai kawasan yang terjejas akibat bencana.

Pameran mengetengahkan pelbagai aspek Tohoku, dengan Teisuke Chiba dan Ichiro Kojima menggambil gambar rantau itu pada 1950-an dan 1960-an, sementara Hideo Haga, Masatoshi Naito dan Masaru Tatsuki merakamkan festival-festival dan upacara keagamaan di seluruh rantau berkenaan.

Hiroshi Oshima dan Naoya Hatakeyama pula menggabungkan pengalaman peribadi mereka dengan landskap rantau tempat kelahiran mereka, Meiki Lin memfokuskan pada kecantikan alam semula jadi dan Nao Tsuda pula mencari sumber-sumber semangat Jepun pada relik-relik dan artifak aman Jomoh, di mana kebudayaannya berkembang di Tohoku, 15,000 hingga 30,000 tahun lalu.

Sementara itu, sekumpulan jurugambar yang diketuai oleh Toru Ito telah menghasilkan Koleksi Sendai, satu siri gambar pemandangan di Sendai, Wilayah Miyagi. Kesemua jurugambar adalah dari rantau Tohoku.

Orang ramai yang ingin melihat hasil karya mereka bolehlah menyaksikan pameran itu nanti yang akan dibukakan secara percuma.

ARTIKEL YANG SAMA