Pameran udara tetap diadakan

Pameran udara tetap diadakan

FARNBOROUGH, United Kingdom, 10 Julai – Pameran udara The Farnborough dibuka esok ketika berdepan pergolakan daripada keputusan Britain yang mengejutkan untuk keluar daripada Kesatuan Eropah.

Acara yang diadakan setiap dua tahun sekali di barat daya London itu mengikut tradisi memaparkan pertarungan syarikat AS Boeing dan Airbus di Eropah untuk menguasai buku tempahan.

Penganjur tahu tidak terdapatnya peluang untuk mengatasi perniagaan berjumlah AS$201 bilion – tempahan dan komitmen kedua-dua firma kapal terbang – yang dicatat pada 2014, dengan industri dibelenggu oleh tunggakan pengeluaran.

Sebelum mesyuarat, beberapa syarikat penerbangan telah mencatat amaran keuntungan yang dikaitkan dengan kesan sampingan yang dijangkakan daripada Brexit.

Referendum Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah telah menyurami pameran udara yang berlangsung dari Isnin hingga Ahad.

Pengundian tersebut menyebabkan pasaran kewangan merosot dan mencetuskan kebimbangan mengenai kesan sampingan ekonomi global yang mungkin menjejas permintaan untuk perjalanan udara.

Brexit ‘mungkin memberi kesan dalam jangka masa sederhana’ ke atas permintaan untuk kapal terbang baru, penganalisis penerbangan John Strickland mengingatkan.

“Buku tempahan biasanya penuh tetapi jika permintaan menjadi lemah, ia mungkin membawa kepada tempahan berkurangan atau kemungkinan beberapa pembatalan,” beritahunya kepada AFP.

Bagaimanapun, penganalisis Argon Consulting Jean-Louis Dropsy meramalkan Brexit tidak akan menjejas sektor berkenaan, berkata ia lebih bergantung pada permintaan dari luar Eropah – dan terutamanya daripada pasaran membangun.

“Brexit seharusnya tidak memberi kesan ke atas industri global, yang didorong sebahagiannya oleh pertumbuhan lalu lintas udara, terutamanya di Asia, India dan Timur Tengah,” kata beliau. – AFP