Pameran Urusan Rumah Tangga mendapat sambutan

Pameran Urusan Rumah Tangga mendapat sambutan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 KUALA BELAIT, 7 Ogos – Lebih 60 orang wanita telah menyertai Pameran Urusan Rumah Tangga Sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun bagi Daerah Belait yang berlangsung di Dewan Bandaran di sini, hari ini.

Sejumlah 35 jenis pameran telah dipertandingkan dan ia telah dibahagikan kepada empat bahagian iaitu, bahagian Gubahan sebanyak 10 jenis, bahagian Jahitan dan Anyaman tiga jenis, bahagian Masakan sembilan jenis dan bahagian Kuih Muih 13 jenis.

Sharifah Fauziah binti Haji Wan Hill telah tampil menjadi johan keseluruhan terbaik dalam pertandingan pameran tersebut tahun ini, manakala tempat kedua dimenangi oleh Dayang Sriraya binti Borhan dan tempat ketiga menjadi milik Dayang Noryiah binti Haji Hussin.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang keseluruhan terbaik ialah isteri Pegawai Daerah Belait, Dayang Suraya binti Haji Mohd Salleh.

Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama terbaik keseluruhan.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama terbaik keseluruhan.
Para hakim sedang menilai pameran yang dipertandingkan.
Para hakim sedang menilai pameran yang dipertandingkan.

Pengerusi jawatankuasa penyelaras pameran tersebut, Dayang Fatimah binti Tanji, dalam ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut berkata, pertandingan telah dibukakan untuk penyertaan kaum wanita di Daerah Belait.

Menurutnya lagi, selain daripada menyemarakkan lagi suasana sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan, pameran juga adalah untuk memberikan peluang kepada peserta untuk mengetengahkan lagi bidang kemahiran seperti seni gubahan, jahitan, masakan dan pembuatan beraneka jenis kek yang terkini atau yang klasik.

“Di samping itu, melalui pameran ini juga, orang ramai berpeluang berkunjung sambil menyaksikan acara yang diadakan setahun sekali ini, di samping untuk menambahkan lagi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan menyaksikan gubahan terkini, masakan kek dan jenis anyaman terkini yang dihasilkan oleh para peserta,” katanya.

Beliau juga berkata, kemahiran yang ada dalam bidang gubahan, anyaman, masakan dan membuat kek setentunya turut menjadi keuntungan kepada kaum wanita, kerana melalui kepandaian dan kemahiran mereka itu, hasilnya dapat dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan jika sekiranya ianya dipasarkan melalui jualan atau tempahan daripada orang ramai.

Untuk memilih pemenang terbaik keseluruhan, jawatankuasa penganjur pameran telah mengundang seramai 15 orang hakim dari seluruh negara, bagaimanapun hanya dari Daerah Brunei dan Muara dan Belait sahaja yang dapat menghadirkan diri.

ARTIKEL YANG SAMA