Pampasan pemindahan belum mencukupi

Pampasan pemindahan belum mencukupi

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 21 Julai – Sebahagian penduduk yang menerima arahan untuk pindah dari kampung halaman mereka, terus bertegas untuk mempertahankan permohonan mereka supaya pampasan ditambah, atau jika mereka ditempatkan di kawasan Tunggulian, mereka mahukan prasarana disediakan oleh pihak kerajaan.

Sebanyak 40 buah rumah, di kawasan Jalan Kecil Kampung Sungai Liang, telah menerima arahan daripada Jabatan Tanah untuk berpindah, ekoran kawasan berkenaan dikatakan hendak dimajukan bagi pengembangan Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) sebagaimana yang dinyatakan kepada penduduk di sana pada sekitar tahun 2013 lalu.

Kenyataan awal melalui surat Jabatan Tanah dihantar kepada kira-kira 100 pemilik tanah di kawasan berkenaan yang pada mulanya hanya ditawarkan pampasan kewangan tanpa pilihan untuk penempatan semula.

Bagaimanapun, sebahagian daripada penduduk, terutama mereka yang memiliki rumah dan telah lama bermastautin di kampung itu, melihat nilai tawaran pampasan yang diberikan kepada mereka tidak mencukupi dan tidak berbaloi, selain tekanan berhubung ketiadaan pilihan lain.

Sehubungan itu, seramai 30 orang dalam kalangan pemilik tanah berkenaan, telah membentuk sebuah jawatankuasa yang sebulat suara telah menghadapkan cadangan mereka kepada pihak kerajaan dan memohon untuk memikirkan semula keputusan yang diberikan kepada penduduk di sana.

Haji Taip menunjukkan kediamannya, yang dihuni seramai 10 orang ahli keluarganya.
Haji Taip menunjukkan kediamannya, yang dihuni seramai 10 orang ahli keluarganya.

Pengerusi jawatankuasa tersebut, Haji Taip bin Haji Damit, semasa ditemui hari ini menyatakan, mereka bertindak seperti itu bukan bererti melawan atau menolak arahan pihak kerajaan, tetapi mereka mahukan tindakan yang adil kerana pemindahan ke atas mereka bukanlah disebabkan kejadian bencana alam, tetapi tanah tapak kediaman mereka yang diperlukan adalah bagi kemajuan negara, dan setentunya mereka diberikan keistimewaan dengan gantian yang bersesuaian dan selesa.

“Adalah lebih baik jika pemindahan kami ke satu tempat yang bersesuaian dan memberikan keselesaan dan kesejahteraan kepada kami yang berkampung di sini, supaya sebagai rakyat, kami berasa tidak dibezakan dengan mereka yang diberikan skim perumahan awam dan skim tanah kurnia rakyat jati misalnya, yang hanya pindah dan masuk ke rumah mereka seterusnya membayar setiap bulan tanpa perlu memikirkan lagi tentang bagaimana membina prasarana atas biaya mereka sendiri, begitu juga dengan kami, tetapi, dengan nilai pampasan yang sedia ada, memang tidak cukup untuk membina rumah lengkap dengan prasarana yang sempurna, sepertimana yang kami ada pada masa ini,” katanya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA