Pan Borneo beri kesan, makna besar

Pan Borneo beri kesan, makna besar

SIBU, 17 April (Bernama) – Lebuh Raya Pan Borneo bukan sekadar projek mega semata-mata tetapi projek yang memberi kesan dan makna besar kepada seluruh lapisan masyarakat di Sarawak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata projek itu yang diimpikan sejak berpuluh tahun lalu bakal membawa sektor kawasan luar bandar ke dalam arus perdana pembangunan di negara ini.

“Ini dikatakan pencetus perubahan yang membawa perubahan besar, sebab boleh dekatkan orang di kawasan luar bandar dengan pasaran, permintaan untuk produk mereka akan meningkat.

“Ini akan mengubah peluang ekonomi untuk kawasan luar bandar,” katanya semasa melancarkan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak bagi jajaran dari Simpang Bintangor ke Simpang Julau dan Lapangan Terbang Sibu ke Jambatan Sungai Kua, di sini, hari ini.

Lebih daripada itu, menurut Najib, secara psikologi lebuh raya itu nanti akan dapat merangsang minda dan hati anak-anak di luar bandar dengan keinginan untuk mengejar kemajuan.