Pan Borneo bukan janji pilihan raya

Pan Borneo bukan janji pilihan raya

KUCHING, 19 April (Bernama) – Pihak yang mendakwa projek pembangunan di Sarawak termasuk Lebuhraya Pan Borneo hanya ‘janji pilihan raya’ perlu datang untuk melihat sendiri perkembangan projek itu dan bukannya terus menabur fitnah kepada masyarakat, kata Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Perumahan Sarawak berkata semua projek bergerak seperti dirancang, dan ia memerlukan masa serta pelaksanaan yang komprehensif lagi teratur.

“Datang sini, tengok dengan mata sendiri apa yang berlaku. Semua sudah ada,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan jentera pilihan raya PBB Zon Sri Aman di Ibu Pejabat PBB di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (tengah) bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan jentera pilihan raya zon Sri Aman di Ibu pejabat PBB, kelmarin. – Bernama
Datuk Amar Abang Johari Tun Openg (tengah) bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan jentera pilihan raya zon Sri Aman di Ibu pejabat PBB, kelmarin. – Bernama

Abang Johari atau dikenali ramai di sini dengan ‘Abang Jo’ berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai dakwaan pembangkang kononnya segala projek pembangunan di Bumi Kenyalang ini hanya retorik.

Sementara itu, beliau berkata BN Sarawak yang telah selesai menamakan 82 calon untuk pilihan raya negeri semalam, amat komited untuk meneruskan pembangunan yang dirancang menerusi Manifesto Barisan Nasional (BN) yang akan dilancarkan Pengerusi BN negeri Tan Sri Adenan Satem pada 26 April ini.

“Tengoklah manifesto itu nanti dan buatlah penilaian sendiri,” kata Abang Johari.

Mengenai majlis hari ini, Abang Johari berkata jentera parti akan bekerja keras bagi menjayakan kemenangan mutlak BN melalui segala persediaan yang telah siap dirancang sebelum ini.