Pan Borneo rangsang koridor pembangunan Sabah

Pan Borneo rangsang koridor pembangunan Sabah

PAPAR, 24 April – Projek Lebuh raya Pan Borneo Sabah akan membantu merancakkan lagi agenda pembangunan negeri di bawah Agenda Hala Tuju Sabah dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang sedang dilaksanakan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Katanya, projek itu bukan sekadar membina dan menaik taraf jalan raya kepada lebuh raya, malah menjadi platform memangkinkan kemajuan ekonomi negeri menerusi jaringan perhubungan darat yang efisien dan selamat serta memudahkan mobiliti rakyat negeri ini.

“Pan Borneo juga akan merangsang dan melonjakkan aktiviti perekonomian lain seperti memudahkan pemasaran hasil produk pertanian, menggalakkan pembangunan produk pelancongan, merangsang pembangunan daerah, meningkatkan nilai harga tanah rakyat dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Projek ini juga akan diserahkan kepada kontraktor dan perunding tempatan.

Peluang keemasan untuk memajukan peniaga anak tempatan dari kontraktor besar Kelas A hingga pemegang Kelas F,” katanya berucap pada majlis pelancaran projek itu di Kampung Andus di sini, hari ini.

Projek mega itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis yang dihadiri kira-kira 20,000 rakyat Sabah, selain lebih 2,000 rakyat mengikutinya secara langsung menerusi persidangan video.

Projek lebuh raya tanpa tol dengan jajaran 1,236 kilometer bernilai RM12.86 bilion itu dijangka siap menjelang 2021 dan dilaksanakan menerusi tiga fasa dengan fasa pertama membabitkan pembinaan 706 kilometer lebuh raya.

Musa melahirkan penghargaan kepada kerajaan Pusat kerana merealisasikan harapan rakyat Sabah dan yakin projek Lebuh raya Pan Borneo itu bakal menjanjikan masa depan lebih baik untuk rakyat dan negeri ini.

“Selaku ketua kerajaan negeri, saya amat terharu dengan keikhlasan perdana menteri sungguhpun berhadapan dengan masalah ekonomi global dan harga minyak turun merudum, namun Pan Borneo tetap jadi (dilaksanakan),” katanya. – Bernama