Pan Bright beri 7 tiket penerbangan

Pan Bright beri 7 tiket penerbangan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Se-telah kejayaan siri pertamanya tahun lalu, Pan Bright Travel Services sekali lagi menampilkan Promosi Mengembara dan Menang Kereta atau tiket penerbangan.

Promosi akan bermula semasa Pesta Pelancongan Percutian Abacus ke-12 pada 26 dan 27 September ini, di Kelab Rekreasi Diraja Brunei (RBRC), sehingga 27 Mac 2016.

Ketika ditemui, Pengurus Besar Pan Bright, Johnie Cheong menjelaskan, promosi kali ini melibatkan tujuh tiket penerbangan yang ditaja oleh Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) ke London, Melbourne dan Bali.

“MAS pula menaja tiket ke London, Sydney dan Bangkok sementara Singa-pore Airlines pula menaja penerbangan tiket ke Beijing,” tambah Johnie sambil menambah, Pan Bright turut menaja sebuah kereta Hyundai Accent kepada seorang pemenang bertuah.

Menurutnya lagi, pelanggan yang berkunjung ke petak pameran Pan Bright semasa pesta dua hari itu juga akan berpeluang menerima beg sagu hati.

Staf Pan Bright bersama risalah promosi itu.
Staf Pan Bright bersama risalah promosi itu.

Menyentuh mengenai promosi ber-kenaan, beliau berkata ia bukan terhad semasa pesta berkenaan itu diadakan sahaja.

“Kami membukakan promosi ini selama enam bulan dan ia tidak terhad kepada pembelian tiket penerbangan sahaja kerana kami membukakannya kepada semua yang mendapatkan apa jua jenis produk yang ditawarkan oleh Pan Bright,” jelasnya.

Setiap pembelian akan disertakan kupon cabutan bertuah yang perlu diisikan dan cabutan akan dibuat pada penghujung Mac tahun hadapan bagi mengetahui lapan orang pemenang bertuah.

Promosi ini hanya layak diberikan kepada mereka yang membuat pembelian secara langsung dan bukan kepada pelanggan dalam talian.