Panahan buku ala retro-perindustrian

Oleh Amri HTZ

 

SEBUAH perpustakaan sama ada di rumah atau di sebuah pejabat dengan susunan buku yang teratur akan memberikan suasana kerja yang aman dan seronok. Susunan buku yang tidak teratur memberikan pemandangan yang memeningkan sekali gus boleh mengganggu ‘mood’ sewaktu hendak mencari sesuatu bahan. Kini perkara ini boleh diselesaikan dengan mereka penahan buku selain boleh berfungsi untuk menambahkan hiasan pada sesebuah ruang.

Barangan yang diperlukan

Bagi mereka penahan buku yang unik ini, beberapa barangan penting yang diperlukan ialah flange paip, paip elbow, male adapter pipe, skru, kepingan papan, gam kayu, mesin pemotong kayu, pensel penanda, pita pengukur, pembaris, pengepit kayu, kompas, kertas pasir, cat atau varnis, besi plat, kikir, center punch, tukul, mesin gerudi dan grind.

Langkah yang perlu dilakukan

Pada langkah pertama, setelah mendapatkan sambungan paip-paip yang diperlukan, pasangkan kesemua sambungan paip dengan mula menyambungkan paip flange diikuti male adapter, paip elbow, male adapter diakhiri dengan paip flange. Reka sekurang-kurangnya dua kepingan untuk memberikan impak yang lebih baik lagi pada rak buku anda nanti.

Sebagai pilihan, anda boleh memilih sambungan paip yang diperbuat daripada besi atau tembaga. Dengan menggunakan paip berwarna tembaga, ia akan memberikan lagi hasil akhir yang lebih baik memandangkan warna keemasan yang dimilikinya. Setelah memasangkan keseluruhan bahagian, anda boleh beralih ke proses yang seterusnya.

Bentuk-bentuk paip yang diperlukan dalam projek ini.
Paip-paip yang telah disambungkan mengikut bentuknya.

Kepingan papan yang telah disediakan tadi akan dipotong menggunakan mesin pemotong kayu dengan kelebaran 4 inci. Ukuran ini adalah mengikut kepingan flange paip yang digunakan. Bagi memberikan ukuran yang seimbang untuk penahan buku anda, ukur flange yang digunakan dan lebihkan ukurannya lebih kurang 2 sentimeter pada setiap sudut. Sementara untuk ukuran panjang (ketinggian) penahan buku juga tertakluk pada ketinggian rak atau buku yang digunakan. Dalam projek ini, ketinggian yang sama dengan lebar akan digunakan.

Potongkan sebanyak empat keping papan dengan ukuran 4 inci x 4 inci dan cantumkan dengan menggunakan gam kayu menjadi kedudukan 90 darjah. Pada proses ini, anda boleh menggunakan teknik sambungan tenon atau hanya perlu memotongkan sudut cantuman menjadi 45 darjah setiap satu. Biarkan gam pada cantuman mengering lebih kurang 24 jam sebelum mengendalikannya bagi memastikan cantuman kukuh.

Setelah mengering, pada bahagian hujung kayu yang dicantumkan akan dipotong menjadi bentuk separa bulatan. Untuk memudahkan anda melakarkan garisan separa bulatan, gariskan bahagian sudut hujung yang bertentangan membentuk bentuk ‘X’ sebagai titik untuk anda meletakkan kompas. Setelah mendapatkan lakaran separa bulatan, potong menggunakan jigsaw atau mesin skroll dan ratakan permukaan potongan menggunakan kertas pasir.

Kepingan papan yang telah dipotong mengikut ukuran yang diperlukan.
Potongkan bahagian hujung kayu menggunakan mesin jigsaw, bandsaw atau skroll untuk memudahkan potongan.

Jika terdapatnya bahagian cantuman kayu yang tidak sempurna seperti terdapatnya rongga-rongga kosong yang disebabkan potongan yang tidak rata atau tepat, perkara ini tidak akan mencacatkan rekaan anda. Ia boleh diperbaiki dengan menyapukan wood filler atau hanya menggunakan serpihan habuk kayu yang terhasil ketika menggosok permukaan kayu menggunakan kertas pasir tadi. Campurkan sedikit gam kayu bercampur habuk kayu dan sapukan pada permukaan yang perlu diperbaiki tadi.

Setelah gam mengering (campuran habuk kayu), kini anda boleh mengecat kayu tadi menggunakan varnis dan sebagainya. Bagi memberikan hasil yang terbaik, gunakan woodstain sebelum menggunakan varnis jernih kerana ini akan menimbulkan lagi ira kayu yang terdapat pada permukaannya.

Langkah seterusnya adalah langkah pilihan anda. Pada bahagian separa bulatan tadi akan dipasangkan kepingan pelindung besi untuk penampilan yang lebih baik. Gunakan kepingan besi yang lembut untuk memudahkan proses melengkung besi mengikut bentuk separa bulatan pada bahagian hujung kayu. Ukur menggunakan tali pada permukaan separa bulatan dan kemudian potongkan panjang besi yang sama mengikut ukuran tali tadi.

Pada bahagian hujung kedua-dua kepingan besi tadi akan ditebuk dua lubang menggunakan gerudi. Selain berfungsi untuk mengekalkan kedudukan besi pada permukaan kayu, penggunaan skru di sini adalah untuk memberikan penampilan yang lebih retro-perindustrian pada rekaan anda.

Pada langkah terakhir, sambungan paip besi yang telah dilakukan pada langkah pertama tadi akan dipasangkan pada permukaan kayu menggunakan skru. Lakukan langkah yang sama pada kesemua sambungan paip tadi. Jika anda mempunyai skru terbuat daripada tembaga, ini akan memberikan satu ‘bonus’ pada reka bentuk penahan buku retro-perindustrian anda memandangkan kemasannya yang agak menawan!