Pancaran frek...

Pancaran frekuensi radio tidak berbahaya

KUCHING, 17 Mei –Tiada bukti yang menyatakan pendedahan kepada pancaran frekuensi radio (RF) daripada struktur telekomunikasi akan menjejaskan kesihatan, kata Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Sarawak Dr Abdul Rahman Junaidi.

Tambahan pula, pembinaan dan pengendalian stesen pangkalan telefon mudah alih adalah dikawal Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mengawal selia frekuensi, kuasa pemancar dan pancaran RF daripada stesen pangkalan itu, kata Abdul Rahman ketika menjawab pertanyaan Violet Yon Wui Wui (DAP-Pending) semasa sesi soal jawab di persidangan dewan undangan negeri di sini hari ini.

Beliau berkata mana-mana pihak yang tidak mematuhi standard mandatori yang ditetapkan SKMM boleh didenda sehingga RM200,000, yang menunjukkan keselamatan awam memang menjadi keutamaan sepanjang masa.

Di Sarawak, beliau berkata Agensi Nuklear Malaysia (MNA) telah menjalankan sembilan audit penilaian radiasi untuk menilai kadar radiasi yang dipancarkan oleh pemancar yang dipasang pada struktur telekomunikasi di sembilan lokasi berbeza di kawasan yang berpenduduk padat.

“Keputusan ujian menunjukkan radiasi RF yang disukat di semua lokasi adalah di bawah had pendedahan dan mematuhi standard Suruhanjaya Antarabangsa mengenai Perlindungan Sinaran Bukan Pengion (ICNIRP) dan Mandatori Standard SKMM untuk orang awam,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan penemuan daripada penilaian itu, MNA mendapati pancaran RF daripada antena struktur telekomunikasi dengan beban semasa dan pancaran di sekitarnya tidak akan mengakibatkan pendedahan kepada radiasi yang ketara terhadap orang awam di kawasan berkenaan.

“Peratusan pendedahan hanyalah 0.01 hingga 0.26 yang diklasifikasikan sebagai tidak memudaratkan kepada kesihatan manusia,” katanya. – Bernama