Panchor Murai ikat Setia Perdana

Panchor Murai ikat Setia Perdana

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Mei – Panchor Murai FC dan Setia Perdana berpesta lapan gol dalam pertemuan Liga Perdana DST 2015 antara keduanya malam tadi di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dalam pertembungan hebat kejar mengejar antara satu sama lain, yang akhirnya berkesudahan seri 4-4 berkenaan.

Setia Perdana mendahului apabila Haji Rahimni bin Haji Pundut menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-3, namun lima minit kemudian kedudukan mereka menjadi seimbang selepas Ahmad Asyraf bin Md Saudian menjaringkan gol pertama Panchor Murai.

Md Ali Shofian bin Haji Aliakbar memacu Setia Perdana ke depan dengan satu gol apabila meledakkan jaringan pada minit ke-29, tetapi pendahuluan 2-1 turut hanya bertahan lima minit selepas Mohd Nazirul Azmi bin Haji Ali menyempurnakan sepakan penalti Panchor Murai untuk kedudukan 2-2.

Panchor Murai buat pertama kali mendahului 3-2 setelah Ahmad Asyraf menjaringkan gol kedua pada minit ke-42 dengan babak pertama selesai 3-2.

Panchor Murai (hitam) dan Setia Perdana seri 4-4 dalam aksi Liga Perdana DST semalam.
Panchor Murai (hitam) dan Setia Perdana seri 4-4 dalam aksi Liga Perdana DST semalam.

Setia Perdana tidak menunggu lama untuk mengimbangi semula perlawanan sejurus separuh masa kedua bermula apabila Haji Rahimni sudah mencetak jaringan kedua dan ketiga pada minit ke-47, hanya dua minit selepas sepak mula.

Setia Perdana kemudiannya berada di depan buat kali ketiganya pada minit ke-70, merubah kedudukan menjadi 4-3 menerusi jaringan Md Faizal bin Ali. Panchor Murai FC hanya memerlukan dua minit untuk mengikat semula kedudukan, kini pada 4-4. – Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA