Panchor Murai rapatkan jurang

Panchor Murai rapatkan jurang

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Panchor Murai FC mengukuhkan kedudukannya di tempat keempat Liga Perdana DST 2015 sekali gus merapatkan kutipan matanya kepada dua mata sahaja dari pasukan tangga ketiga, Kasuka FC, yang setakat ini mengumpul 20 mata daripada 10 permainan.

Panchor Murai FC mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Menglait FC untuk mengutip 18 mata dari 10 permainan ketika Liga Perdana DST 2015 dimulakan semula malam tadi selepas direhatkan lebih sebulan iaitu di sepanjang Ramadan dan separuh Syawal.

Pada aksi di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu Panchor Murai berjaya mendahului 1-0 pada minit ke-26 menerusi sepakan penalti Haji Md Nurfadzillah bin Haji Md Yussop, dan kedudukan itu kekal sehingga pengadil menamatkan separuh masa pertama untuk rehat.

Selesai rehat, hanya sebelas minit selepas separuh masa kedua bermula Panchor Murai FC mendapat gol keduanya, kali ini menerusi rembatan Muhd Azrin bin Haji Untong pada minit ke-56.

Persaingan Liga Perdana DST 2015 disambung semula semalam dengan Panchor Murai FC (hijau) menang 2-0 ke atas Menglait FC.
Persaingan Liga Perdana DST 2015 disambung semula semalam dengan Panchor Murai FC (hijau) menang 2-0 ke atas Menglait FC.

Jaringan Muhd Azrin itu terbukti menjadi gol terakhir perlawanan yang berjaya memastikan Panchor Murai FC mengutip tiga mata penuh pada perlawanan kesepuluhnya, yang sekaligus menjarakkannya empat mata di depan pasukan tangga kelima, Setia Perdana.

Kota Ranger FC yang baru bermain lapan kali masih menduduki tangga teratas Liga Perdana DST 2015 dengan kutipan 22 mata dari tujuh menang dan sekali seri, sementara Tabuan U18 di tangga kedua dengan 21 mata daripada sembilan perlawanan (enam menang & tiga seri).

Liga Perdana DST 2015 diteruskan dengan perlawanan di antara dua pasukan terbawah iaitu Perkasa FC (di kedudukan ke-11 dengan empat mata daripada lapan perlawanan) dan Rimba Star FC (di kedudukan ke-10 dengan lima mata daripada lapan perlawanan) malam ini (2 Ogos) di Kompleks Sukan Berakas, bermula jam 8:15 malam.