Pancuran tahi bintang paling panjang Rabu ini

Pancuran tahi bintang paling panjang Rabu ini

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) – Rakyat Malaysia buat pertama kali berpeluang menyaksikan pancuran tahi bintang ‘meteor perseid’ selama satu jam mulai Rabu malam hingga awal pagi Khamis.

Pegawai Penyelidikan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Mohd Redzuan Tahar berkata pancuran itu berlaku akibat serpihan debu ekor komet ‘109P/Swift-Tuttle’ memasuki atmosfera bumi pada kelajuan lebih kurang 212,500 kilometer sejam.

“Ia akan menyebabkan serpihan batuan ini terbakar dan menghasilkan jaluran tahi bintang yang panjang. Diramalkan 60 tahi bintang boleh dilihat dalam masa satu jam itu,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjelaskan kewujudan pancuran tahi bintang itu boleh berlaku di mana sahaja pada bahagian langit tanpa arah tertentu.

Pancuran meteor itu telah bermula sejak 17 Julai lalu dan dijangka berakhir pada 24 Ogos ini, tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA