Panda tertua di dunia mati

Panda tertua di dunia mati

HONG KONG, 17 Okt – Panda tertua di dunia yang hidup dalam kurungan mati semalam pada usia 38 tahun di taman tema Hong Kong, menurut para pegawai.

Jia Jia ditamatkan riwayatnya melalui eutanasia selepas kesihatannya semakin memburuk dalam tempoh dua minggu lalu yang mengakibatkannya tidak dapat berjalan, menurut satu kenyataan dari taman tema Ocean Park Hong Kong.

Dilahirkan di hutan belantara di wilayah Sichuan, China pada tahun 1978, Jia Jia telah diserahkan kepada Hong Kong pada tahun 1999 untuk menandakan penyerahan bandar separa autonomi itu oleh Britain dua tahun sebelumnya.

Namun ketika kesihatannya semakin merosot beberapa hari kebelakangan, pengambilan makanannya berkurang dari lebih 10 kilogram sehari kepada kurang tiga kilogram dan berat badannya juga menurun.

“Keadaannya menjadi begitu lemah, dan berdasarkan atas sebab etika dan untuk menghalang penderitaannya, para veterinar dari Jabatan Pertanian, Perikanan dan Pemuliharaan dan Ocean Park bersetuju untuk memberikan eutanasia berperikemanusiaan untuk Jia Jia,” menurut pihak taman tema itu lagi.

Gambar fail 28 Julai 2015 menunjukkan Jia Jia sedang makan buluh bersebelahan kek hari jadinya yang dibuat dengan ais dan sayur-sayuran di Ocean Park di Hong Kong, semasa meraikan hari jadinya yang ke-37 tahun. – AP
Gambar fail 28 Julai 2015 menunjukkan Jia Jia sedang makan buluh bersebelahan kek hari jadinya yang dibuat dengan ais dan sayur-sayuran di Ocean Park di Hong Kong, semasa meraikan hari jadinya yang ke-37 tahun. – AP

“Inilah hari yang kita sedari yang akan tiba akhirnya, namun bagaimanapun hari sedih bagi semua orang di taman ini, terutamanya bagi para penjaga Park yang telah menjaganya selama bertahun-tahun,” tambah pengerusi Ocean Park Leo Kung.

Pada Julai 2015, panda itu telah dihadiahkan dengan kek hari jadi tinggi yang dibuat dari ais dan jus buah de-ngan nombor 37 diukir di atasnya. Jia Jia yang terjemahan namanya bererti ‘cemerlang’, memilih potongan-potongan buah dan buluh sekeliling kek aisnya untuk meraikan hari istimewanya yang memecahkan rekod, menjadi panda tertua yang hidup dalam kurungan.

Terdapat kurang 2,000 ekor panda kini hidup dalam hutan, menurut World Wildlife Fund, kerana habitat mereka telah terjejas oleh pembangunan. Menurut Ocean Park, Jia Jia telah melahirkan sebanyak lima kali dan mempunyai enam anak panda. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA