Pandan XIV benam TelBru FT 3-1

Pandan XIV benam TelBru FT 3-1

Oleh Hasrulraizan

 

TUTONG, 23 Sept – Perlawanan pertama Piala FA-DST 2015 antara TelBru FT dan Pandan XIV di Kompleks Sukan Tutong hanya mula menghiburkan penonton apabila pertarungan memasuki separuh masa kedua khususnya dua puluh minit terakhir dengan penghasilan tiga gol.

Separuh masa pertama berlangsung hambar tanpa jaringan gol tetapi lapan minit selepas rehat para penonton mula dapat bersorak terutama penyokong Pandan XIV apabila pemain TelBru FT, Awangku Muhammad Adli bin Pengiran Ali terjaringkan gol ke gawang sendiri bagi memberikan Pandan XIV pendahuluan 1-0.

Dua puluh minit selepas gol pertama itu, terhasil pula gol kedua Pandan XIV tetapi kali ini mutlak dihasilkan sendiri oleh pemainnya iaitu Hafizul bin Hasnal.

Pada kedudukan 2-0 Pandan XIV dilihat selesa dan keselesaan itu ditambah lagi oleh Mohammad Adiwan bin Haji Sarbini pada minit ke-80 dengan ledakan jaringannya yang menjadikan kedudukan 3-0 ketika perlawanan hanya berbaki sepuluh minit.

Pandan XIV layak meneruskan cabaran ke pusingan kedua Piala FA-DST 2015 selepas menang 3-1 ke atas TelBru FT di Kompleks Sukan Tutong malam tadi.
Pandan XIV layak meneruskan cabaran ke pusingan kedua Piala FA-DST 2015 selepas menang 3-1 ke atas TelBru FT di Kompleks Sukan Tutong malam tadi.

Pada minit ke-88 keselesaan Pandan XIV dihambat oleh jaringan Muhd Ainol Ashriff Abdullah yang memberikan pemain TelBru FT keyakinan untuk bangkit, sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan dan memaksa perlawanan ke masa tambahan.

Namun Pandan XIV bertahan baik untuk mengekalkan kedudukan jaringan 3-1 yang sekali gus menghadiahkannya tiket ke pusingan kedua membuat janji temu dengan pasukan dari Liga Perdana DST 2015 iaitu Setia Perdana pada 7 Oktober nanti di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) bermula pukul 8:15 malam.

ARTIKEL YANG SAMA