Pandangan pemimpin ASEAN langkaui 2016

Pandangan pemimpin ASEAN langkaui 2016

SINGAPURA, 1 Jan (Bernama) – Semasa Singapura bersedia memulakan perjalanan baru, beberapa rakan dalam ASEAN juga membuka lembaran baru masing-masing bersama aspirasi melangkaui 2016.

Singapura menyambut kemerdekaan ke-50 atau jubli emasnya sepanjang tahun lepas. “Kita tidak boleh mengharapkan perjalanan yang mudah di hadapan,” kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengingatkan warga Singapura dalam perutusan sempena Tahun Baru 2016.

“Kita hidup dalam dunia yang sangat berbeza daripada perintis kita 50 tahun lalu. Ya, kita mempunyai lebih banyak peluang dalam dunia sejagat, tetapi kita juga menghadapi persaingan yang sengit.

“Ekonomi kita semakin perlahan dan menjalani peralihan. Namun perjalanan ini boleh menjadi menarik sebagaimana 50 tahun dahulu,” katanya.

Presiden Filipina, Benigno S. Aquino III berkata beliau mengharapkan keamanan dan kemakmuran pada 2016.

“Ekonomi kita memberangsangkan, demokrasi yang kukuh, dan kehadiran di peringkat global yang semakin meluas bukan sahaja menjanjikan permulaan yang baik untuk tahun mendatang tetapi juga menyerlahkan kisah kebangkitan yang sedang berlangsung di Filipina di bawah Daang Matuwid,” katanya.

Presiden Myanmar U Thein Sein yakin tahun 2016 akan mewujudkan peluang keemasan, baik dalam politik dan ekonomi. Bagaimanapun, beliau berkata, merebut peluang berkenaan memerlukan “usaha yang luar biasa”.

Raja Thailand Bhumibol Adulyadej menggesa rakyat Thailand supaya mempersiapkan diri mereka dari segi fizikal dan rohani untuk berdepan dengan ketidaktentuan dalam kehidupan serta tidak leka pada tahun ini.

Baginda mahu semua rakyatnya sentiasa kekal sihat dan bijak agar dapat melalui situasi yang tidak diduga serta mencapai kebahagiaan, kemakmuran dan kejayaan yang mereka inginkan.

Sementara itu, Presiden Indonesia Joko Widodo menyaksikan matahari terbit pertama pada 2016 di Pantai Waiwo di Raja Ampat, Papua Barat hari ini.

Agensi berita Antara melaporkan bahawa Jokowi berjalan ke dok pada kira-kira pukul 6.15 pagi waktu tempatan sebelum matahari terbit sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA