Pandangan terhalang

Pandangan terhalang

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Ekoran rentetan dan aduan pengguna jalan dan penduduk kampung yang prihatin mengenai keadaan semak samun yang semakin membimbangkan di Kampung Kulapis, wartawan Media Permata segera membuat tinjauan ke sana bagi melihat sendiri hal berkenaan.

Setiba di sana alangkah merisaukan apabila tiba di simpang tiga jalan di salah sebuah simpang yang ditumbuhi semak yang tinggi dan menghalang penglihatan bagi kemaraan sebarang kenderaan yang pastinya akan membahayakan pengguna jalan raya terutama sekali pejalan kaki.

Selain itu apa yang menjadi kebimbangan pihak yang tidak mahu nama mereka disebutkan menegaskan kerisauan akan keselamatan mereka yang gemar untuk membuat aktiviti fizikal seperti berlari dan berjalan di sepanjang jalan di sana.

“Kami risau melihat kebajikan penduduk kampung baik yang menggunakan kenderaan mahupun pejalan kaki dan lebih membimbangkan apabila di bulan Ramadan ini sememangnya diketahui iklim panas dan kering,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, pada saat ini haiwan berbisa seperti ular akan mencari air dan jalan yang sering digunakan pejalan kaki dan mereka yang melakukan aktiviti fizikal adalah jalan yang sama apabila beliau beberapa kali nampak ular melintasi jalan raya dan baginya perkara ini perlu diberikan perhatian.

Semak dan lalang menjejaskan pandangan pengguna jalan raya di simpang 3.
Semak dan lalang menjejaskan pandangan pengguna jalan raya di simpang 3.

“Kami berharap pihak berkenaan akan memberikan perhatian serius dan tindakan yang sewajarnya berhubung hal ini kerana ia bukan sahaja boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung malah boleh menjejaskan pandangan mata ketika melintasi jalan raya di kampung ini,” tegasnya lagi.

Selain daripada hal tersebut, didapati masih lagi terdapat beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab dengan menjadikan jalan yang sama sebagai tempat pembuangan sampah peribadi mereka.

Meskipun perkara ini telah berlaku beberapa kali sebelum ini masih ada golongan masyarakat yang suka akan kekotoran walaupun kawasan pembuangan sampah domestik yang disediakan hanya beberapa kilometer di luar jalan utama kampung itu.

Sampah dan semak bukan sahaja dua perkara yang mengganggu pemandangan, ia juga ditambah dengan terdapatnya papan tanda jalan raya yang telah dipugut oleh segelintir individu yang tidak tahu menghargai kemudahan yang diberikan oleh pihak kerajaan bagi keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya bersama.

ARTIKEL YANG SAMA