Pandelela jadi tumpuan di Miri

Pandelela jadi tumpuan di Miri

MIRI, 9 Sept – Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Pandelela Rinong dijangka menjadi tumpuan dalam perbarisan sempena Hari Jadi ke-80 Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, di sini esok.

Pengarah Unit Protokol dan Perhubungan Awam negeri, Jabatan Ketua Menteri (UPPAN) Datuk Khir Busrah berkata Pandelela yang meraih perak dalam acara 10m platform seirama wanita pada Sukan Olimpik Rio akan mengetuai kontinjen Kementerian Belia, Sukan dan Perpaduan Sarawak.

“Pada keseluruhan, 80 kontinjen akan menyertai perbarisan yang akan berlangsung di Stadium Miri esok,” kata beliau pada taklimat dan majlis minum petang untuk media di sini hari ini.

Khir berkata selepas perbarisan, upacara penyampaian pingat akan berlangsung di Hotel Mega diikuti majlis bankuasi pada sebelah malam di Hotel Pullman.

Beliau berkata Abdul Taib akan melancarkan program “Bring Back The Rainforest Project” di Rizab Alam Semulajadi Piasau (PNR) di Miri kira-kira tengah hari esok.

Dalam perkembangan lain, Khir berkata UPPAN menggalakkan media tempatan melaporkan terus kepada unit itu mengenai masalah yang dihadapi oleh rakyat di kawasan-kawasan yang media membuat liputan.

“Media diminta mengambil gambar dengan butir-butir seperti lokasi tempat dan tarikh dan menghantarnya kepada pegawai kami melalui Whatsapp,” katanya.

Beliau berkata sebaik pegawai berkenaan menerimanya, ia akan dikemukakan melalui whatapps kepada kumpulan whatapps pengurusan aduan terdiri daripada pengarah-pengarah dan pegawai kanan jabatan dan agensi kerajaan negeri. Beliau berkata kumpulan whatapps dipantau setiap hari oleh Setiausaha Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Gani untuk memastikan pengarah mengambil tindakan susulan terhadap masalah rakyat.

Kagtanya, tujuan utama kumpulan whatapps ialah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat secepat mungkin dan jika tidak dapat diselesaikan dengan segera, mereka akan cuba mengemukakan penyelesaian jangka panjang. – Bernama