PANDORA buka cawangan kedua

PANDORA buka cawangan kedua

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Kedai barangan kemas antarabangsa yang dikenali sebagai PANDORA kini telah membuka cawangannya yang kedua di Brunei bertempat di The Mall, Gadong.

Hadir bagi merasmikan kedai tersebut pagi tadi ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Datuk Ghulam Jelani bin Khanizaman.

Turut hadir ialah Pengerusi PANDORA Malaysia dan Brunei Darussalam, Dato’ Sri Meer Habib dan juga Pengarah Urusan PANDORA Malaysia dan Brunei Darussalam, Datin Sri Zarida Noordin.

Kedai barangan kemas PANDORA merupakan jenama terkenal dengan gelang tangan charm buatan tangan yang boleh diubah suai mengikut cita rasa para pelanggan.

Kedai PANDORA berharap akan dapat menyediakan perkhidmatan pelanggan yang terbaik dengan jenama barangan kemas berkualiti dan mudah didapati di pasaran negara ini.

Dato’ Sri Meer Habib, Datuk Ghulam Jelani dan Datin Sri Zarida Noordin semasa majlis pelancaran cawangan kedua PANDORA di The Mall, Gadong, semalam.
Dato’ Sri Meer Habib, Datuk Ghulam Jelani dan Datin Sri Zarida Noordin semasa majlis pelancaran cawangan kedua PANDORA di The Mall, Gadong, semalam.

Datin Sri Zarida Noordin semasa ditemui berkata, cawangan pertama PANDORA telah dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa pada minggu yang lalu.

Beliau memberitahu, sejak hari pertama penubuhannya, mereka sentiasa ingin membuka cawangan di Brunei dan bersyukur dengan pembukaan dengan bukan hanya satu, tetapi dua cawangan di negara ini.

“Saya berharap agar kami akan dapat memberikan para pelanggan di negara ini dengan perkhidmatan pelanggan yang terbaik dengan menawarkan produk PANDORA yang pelbagai jenis. Setiap tahun, PANDORA akan menawarkan para pelanggan dengan tujuh reka bentuk produk baru,” katanya.

Menurut beliau lagi, PANDORA, telah memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan di negara ini dan mereka telah pun menyertai latihan di Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada pasukan PANDORA dan dengan latihan yang rapi ini, mereka akan dapat memberikan perkhidmatan pelanggan seperti di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, harga yang kami tawarkan di kedai PANDORA adalah sangat kompetitif dengan negara-negara jiran yang lain dan ini adalah peluang baik bagi orang ramai di negara ini kerana mereka tidak perlu berkunjung ke luar negeri untuk mendapatkan produk PANDORA,” tambah beliau.

Kedai ini mempunyai pelbagai koleksi rangkaian produk yang menakjubkan dan indah termasuk cincin, anting-anting, gelang dan kalung yang datang dalam pelbagai warna dan reka bentuk.