Pandu cermat di Hari Lebaran

Pandu cermat di Hari Lebaran

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Julai – Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bermula Sabtu ini, para pengguna jalan raya diingatkan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada ketika memandu selain mengamalkan sikap bertolak ansur sesama pemandu lain.

Selain itu, Ketua Unit Penyelidikan dan Keselamatan Jalan Raya, Inspektor Kanan Mohd Baharin Shah bin Haji Abu Bakar menekankan kepada semua pemandu agar mematuhi peraturan di jalan raya dan sentiasa memberi kerjasama kepada semua pihak ketika memandu.

“Pemandu perlu mengikuti arahan had laju, tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memastikan kenderaan dalam keadaan sempurna, memakai tali pinggang keselamatan dan sentiasa berawas akan jarak sesama kereta baik di hadapan dan belakang,” beliau mengongsikan tip ketika memandu semasa sidang media Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pemandu supaya tidak memandu ketika mengantuk, sentiasa berada di sebelah kiri jalan kecuali ketika memotong, tidak membenarkan anak-anak di bawah umur untuk memandu serta merancang perjalanan sebelum memulakan pemanduan.

Ketua Unit Penyelidikan dan keselamatan jalan raya, Inspektor Kanan Md Baharin Shah haji Abu Bakar
Ketua Unit Penyelidikan dan keselamatan jalan raya, Inspektor Kanan Md Baharin Shah haji Abu Bakar

“Perlu diingat untuk tidak menggunakan sebarang tabir atau pelekat gelap kerana ia boleh sahaja mengganggu pandangan para pemandu terutama di waktu malam,” tambah beliau.

Menurutnya, JSKLL akan terus memastikan pemandu di negara ini sentiasa selamat dan menekankan usaha kawalan seperti sekatan jalan raya, perangkap had laju dan rondaan akan dilaksanakan di jalan-jalan utama serta kawasan perkampungan, yang akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

ARTIKEL YANG SAMA