Panduan kesempurnaan berpuasa

Panduan kesempurnaan berpuasa

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Bulan Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa kerana segala amal ibadah yang dilakukan akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. Ibadah puasa bukan setakat menahan diri dari makan dan minum sahaja tetapi juga menahan diri daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan pahala puasa.

Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini telah menyatakan beberapa garis pandu etika berpuasa bagi mencapai kesempurnaan dalam melaksanakan ibadah puasa.

Menurut Khatib, pertama ialah mengawal pandangan mata daripada melihat perkara-perkara yang keji dan mungkar serta dibenci oleh syarak.

“Ini termasuklah juga memelihara mata daripada memandang sesuatu yang sia-sia seperti rancangan hiburan yang melalaikan dan penuh dengan unsur-unsur maksiat yang akan memalingkan hati daripada mengingati Allah swt.”

Kedua, memelihara lidah daripada mengeluarkan kata-kata keji seperti berdusta, mengumpat, menghina, bertengkar dan sebagainya.

Ketiga, menahan telinga daripada mendengar sesuatu yang dibenci dan ditegah oleh syarak seperti mendengar umpatan, kata-kata keji, bentuk-bentuk hiburan yang melalaikan dan sebagainya.

Keempat, menahan anggota yang lain daripada membuat dosa, seperti mengawal tangan dan kaki daripada melakukan perkara yang ditegah, menahan perut daripada makan-makanan dan minuman yang syubhah apatah lagi yang haram terutamanya ketika berbuka puasa dan bersahur.

Kelima, tidak memperbanyakkan makan sehingga terlalu kenyang terutama ketika berbuka puasa.

Menurut Khatib lagi, waktu berbuka puasa adalah saat yang ditunggu-tunggukan dan menggembirakan bagi orang-orang yang sedang berpuasa iaitu setelah hampir sehari menahan diri dari makan dan minum dan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa.

“Salah satu trend yang disukai masa kini ialah bersungkai di luar seperti di kedai-kedai makan atau restoran-restoran, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini nanti terdapat banyak promosi-promosi sungkai yang telah diiklankan dengan tawaran harga yang sangat menarik hati.”

Khatib menyeru, umat Islam haruslah mengambil berat terhadap beberapa perkara ketika bersungkai di luar.

Umat Islam haruslah mendirikan sembahyang fardu pada waktunya dan adalah dinasihatkan ketika menjamu selera sewaktu sungkai jangan terlalu asyik makan hingga waktu sembahyang maghrib terlepas.

Bagi mengelakkan waktu maghrib terlepas, Khatib menyeru agar semasa berbuka puasa umat Islam berbuka dengan makanan yang ringan seperti air dan kurma atau seumpamanya.

Di samping itu juga, umat Islam harus mengambil berat untuk melaksanakan sembahyang sunat terawih kerana ibadah ini hanya dilakukan pada malam-malam bulan Ramadan sahaja.

“Alhamdulillah, terdapat sebilangan keluarga yang bersungkai di luar mengambil kesempatan untuk membawa ahli keluarga ke masjid bagi menunaikan sembahyang secara berjemaah dan seterusnya mengerjakan sembahyang sunat terawih. Inilah contoh yang baik untuk diikuti.”

Khatib menyeru agar Umat Islam menjauhkan perkara-perkara makruh iaitu makan banyak hingga terlalu kenyang dan mengelakkan pembaziran dalam penyediaan makanan.

“Sudah menjadi kebiasaan ibu bapa mengajar anak-anak untuk berpuasa sebagai latihan kepada mereka. Apa yang penting, kita hendaklah mendidik mereka dalam melaksanakan ibadah puasa ini dengan menjelaskan kepada mereka tenang kelebihan, ganjaran dan keberkatan puasa.”

Akhirnya, jelas khatib, ibu bapa haruslah mengajak anak-anak mereka berpuasa dengan cara lemah lembut dan berhemah.

Selain itu, ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak mereka bersahur dan raikan mereka ketika berbuka dengan penyediaan makanan yang digemari dan menyihatkan.

ARTIKEL YANG SAMA