Panduan tepat pemilihan permaidani

Panduan tepat pemilihan permaidani

UMUMNYA penggunaan permaidani begitu meluas di negara kita. Rata-rata di dalam sebuah kediaman memiliki paling kurang ada satu permaidani bagi menghiasi ruang.

Permaidani bukan hanya menjadi keperluan biasa kerana kini ia turut dilihat sebagai pelengkap dalam setiap sentuhan dekorasi.

Harga permaidani kini semakin meningkat, jadi bagi menggelakkan tersalah pilih atau tersalah membeli, ada beberapa perkara yang lebih khusus perlu dipertimbangkan sebelum membelinya.

Antara aspek yang dititik-beratkan ketika memilih permaidani yang tepat untuk kediaman anda adalah dengan mengambil kira akan keadaan fungsi ruang dan ‘komplikasi.’

Jika mencari permaidani untuk dijadikan alas dan hiasan di bilik tidur, anda perlulah memilih jenis yang berkualiti tinggi atau selesa sebaik dipijak. Ini kerana di bilik tidur aktiviti yang dilakukan agak kurang lasak, jadi penggunaan permaidani dari bulu tebal dan lembut bagaikan sutera sangat sesuai.

Di ruang makan pula pastikan permaidani anda daripada koleksi kesat dan padat yang pasti bukannya daripada jenis berbulu lembut atau panjang. Ini kerana permaidani yang boleh menenggelamkan kaki kerusi dan kaki meja makan anda juga boleh menenggelam dan menyembunyikan pelbagai kotoran makanan yang mungkin tertumpah.

Permaidani dari jenis anyaman, kental dan keras sangat sesuai diletakkan di bawah meja makan.

Ia juga bukan saja dilihat sebagai keperluan hiasan tetapi bagi segelintir orang, ia menjadi ancaman atau ‘komplikasi’ pada kesihatan terutama mereka yang alah pada debu dan habuk seperti penghidap asma dan semput.

Jika zaman dulu mungkin anda tiada pilihan, kini permaidani antialahan banyak di pasaran. Selalunya permaidani jenis ini diperbuat daripada bulu biri-biri atau bahan organik mesra pengguna.

ARTIKEL YANG SAMA