Panduan untuk Dasar Persaingan dan Advokasi perundangan ASEAN sudah tersedia

Panduan untuk Dasar Persaingan dan Advokasi perundangan ASEAN sudah tersedia

SINGAPURA, 27 April – Panduan untuk Dasar Persaingan dan Advokasi Perundangan ASEAN sudah pun tersedia, kata Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Lim Hng Kiang hari ini.

Suruhanjaya Persaingan Singapura (CCS) mempengerusikan Kumpulan Kerja bagi membangunkan panduan yang diharap akan memberi tatacara kepada negara-negara anggota ASEAN, terutama apabila mereka memulakan inisiatif sokongan kepada pelbagai pihak berkepentingan.

“Saya dengan sukacita mengumumkan bahawa panduan ini telah disiapkan. Kami percaya bahawa negara-negara anggota ASEAN akan mendapati bahawa ia amat berguna untuk usaha-usaha advokasi mereka dalam mewujudkan budaya persaingan yang sihat di rantau ini.

“Dalam jangka masa panjang, ini akan membantu menarik lebih banyak pelaburan perniagaan dan menggalakkan inovasi dengan menyediakan persaingan yang adil bagi semua perniagaan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di rantau ini,” kata Lim dalam ucapannya di Persidangan Tahunan Rangkaian Persaingan Antarabangsa 2016, hari ini.

Teks ucapan beliau dihantar ke Bernama.

Lim berkata, dibina berdasarkan pelan tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2015, kumpulan serantau itu akan terus meningkatkan dan menyelaraskan dasar persaingan serta undang-undang di rantau ini di bawah AEC 2025.

“Walaupun terdapat perbezaan dalam pelaksanaan dasar persaingan dan undang-undang di kalangan negara-negara ASEAN berikutan peringkat pembangunan ekonomi yang tidak sama, anggota-anggota bersetuju bahawa terdapat keperluan untuk mempunyai pendekatan yang konsisten bagi mendekati pihak-pihak berkepentingan yang berkaitan.

“Ini adalah untuk memastikan bahawa dasar persaingan dan undang-undang adalah konsisten dan difahami di seluruh rantau ini,” katanya.

Hari ini, Menteri itu berkata sembilan daripada 10 negara anggota ASEAN telah pun melaksanakan undang-undang persaingan itu.

Sejak penerimaan pelan tindakan AEC pada tahun 2007, ASEAN telah menyaksikan keseluruhannya perdagangannya meningkat kepada hampir AS$1 trilion.

Lim berkata, hampir 26 peratus daripada perdagangan dalam ASEAN pada tahun 2015 disumbangkan oleh perdagangan intra-ASEAN.

“ASEAN juga dijangka akan menikmati pertumbuhan yang pesat dan berterusan dengan unjuran pertumbuhan tahunan purata sebanyak 5.2 peratus dari 2016 hingga 2020. Ini menawarkan potensi yang besar untuk perniagaan,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA