Panel pembaharuan FIFA selesai mesyuarat

Panel pembaharuan FIFA selesai mesyuarat

BERN, Switzerland, 4 Sept (AFP) – Sebuah jawatankuasa yang dibentuk untuk merangka pembaharuan menyeluruh FIFA selesai mesyuarat pertamanya semalam memberi jaminan bahawa perubahan ‘yang bermakna dan berkekalan’ di dalam badan induk bola sepak dunia itu tidak mustahil.

Ketua Jawatankuasa Francois Carrard tidak membuat cadangan khusus pembaharuan di FIFA, yang telah digegarkan oleh skandal rasuah, tetapi berkata semua kawasan utama organisasi tersebut dalam kajian.

“Urus tadbir keseluruhan, mekanisme kewangan, tanggungjawab dan skop pelbagai badan FIFA telah dibincangkan dalam dua hari itu di ibu negara Switzerland itu,” kata Carrard.

“Kami telah membuat langkah-langkah penting ke arah menyampaikan pembaharuan yang bermakna dan berkekalan,” kata peguam Switzerland berusia 77 tahun, yang telah dipilih untuk menerajui jawatankuasa itu oleh Presiden FIFA Sepp Blatter.

Carrard sebelum ini mengetuai panel untuk membersihkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa yang diselubungi skandal pada 1999 berkaitan dengan proses pembidaan untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk di Salt Lake City.

Walaupun Carrard dipercayai, tetapi ada juga pihak mempersoalkan keputusan bahawa sebahagian besar kakitangan 12 anggota jawatankuasa pembaharuan FIFA adalah orang-orang dari dalam badan dunia bola sepak itu.

Sebaliknya, panel IOC adalah orang bebas dengan reputasi antarabangsa yang penting termasuk bekas Setiausaha Negara AS Henry Kissinger.