Panggilan telefon diterima berhubung kes culik terbaru

Panggilan telefon diterima berhubung kes culik terbaru

KOTA KINABALU, 16 Sept – Satu panggilan telefon diterima berhubung kes penculikan tiga anak kapal nelayan di perairan Pulau Pom Pom, Semporna baru-baru ini.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun enggan mengulas butiran panggilan telefon itu.

“Memang ada panggilan telefon. Tetapi biarlah kita (polis) menyiasat dahulu kesahihan panggilan tersebut, sama ada ia betul-betul daripada penculik atau orang yang mahu mengambil kesempatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Hari Malaysia peringkat Sabah di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata beliau difahamkan semua mangsa dalam keadaan selamat dan polis akan terus menyiasat kes itu.

Tiga anak kapal nelayan itu dikenali sebagai Loloi Alpin, 30, Sami, 30-an, dan Masurin, 50-an masing-masing warga Filipina tetapi memiliki dokumen IMM13 dan Surat Banci daripada Pasukan Petugas Khas.

Mereka diculik tujuh lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan bersama-sama 13 lagi anak kapal di perairan berkenaan kira-kira 10.40 malam pada 10 Sept lepas.

Abdul Rashid turut kesal kerana kebanyakan bot nelayan di perairan Sabah khususnya di pantai timur negeri ini tidak memasang sistem komunikasi Sistem.

Pengesanan Automatik (AIS) untuk membolehkan mereka berhubung dengan pihak berkuasa. – Bernama