Pangkalan bekalan Bintulu mampu pacu industri minyak Sarawak

Pangkalan bekalan Bintulu mampu pacu industri minyak Sarawak

KUCHING, 19 Julai – Pengkalan bekalan Bintulu yang menempatkan kemudahan minyak dan gas (O&G) secara bersepadu dan akan dibangunkan di Pelabuhan Bintulu di sini, dijangka mampu melonjakkan lagi industri O&G Sarawak.

Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA), Datuk Hamdan Abdul Hamid berkata kerja-kerja bagi fasa pertama daripada tiga peringkat projek itu dijadualkan bermula pada 1 Januari 2017 dan dijangka selesai pada suku kedua 2019.

“Pengkalan itu yang terletak di kawasan seluas 150 hektar, secara asasnya bertujuan menyediakan kemudahan untuk semua aktiviti O&G negeri.

“Lokasinya yang strategik di Bintulu iaitu pusat gas asli cecair Sarawak, akan turut memberi manfaat dari segi kecekapan kos dan mengoptimumkan pulangan pelaburan,” katanya pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara BPA dan Bintulu Supply Base Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Hamdan menandatangani MoU itu bagi pihak BPA manakala Bintulu Supply yang akan mengendalikan pengkalan itu, diwakili oleh Pengerusinya, Ahmadi Yusof.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kemudahan Awam Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohd Morshidi Abdul Ghani.

Menurut Hamdan, projek itu adalah usaha sama antara kerajaan Sarawak dan dua syarikat tempatan, OBYU Holdings Sdn Bhd dan Kris Sakti Petroleum Sdn Bhd.

Pengkalan itu akan menyediakan perkhidmatan marin, bekalan O&G dan aktiviti sokongan selain kemudahan penyimpanan, gudang, pengangkutan serta bekalan tenaga kerja.

“Permintaan bagi pekerja mahir industri O&G dijangka terus meningkat selain jangkaan kemungkinan berlakunya kekurangan pakar pada masa depan.

“Malah, pengkalan itu akan dapat memenuhi permintaan itu menerusi usaha menumpukan aspek pembangunan modal insan dan latihan pekerja mahir menerusi Akademi Minyak & Gas dan Pusat Latihan Keselamatan dan Pensijilannya,” katanya. – Bernama