Pangkalan data halal global tawar perdagangan besar

Pangkalan data halal global tawar perdagangan besar

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) – Pangkalan data halal global yang pertama di dunia menawarkan peluang-peluang perdagangan yang besar kepada pembekal produk dan perkhidmatan halal, terutama selepas ia dihubungkan dengan rangkaian penyelarasan data antarabangsa pada Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Serunai Commerce Sdn Bhd Amnah Shaari berkata ia telah bekerjasama dengan Majlis GS1 di Brussels bagi membangunkan platform tersebut, GS1 mengeluarkan 95 peratus daripada kod bar dunia yang turut juga mengendalikan rangkaian penyelarasan pangkalan data antarabangsa.

“Sehingga kini terdapat 34 pangkalan data di seluruh dunia, dengan 1.4 juta peniaga dan 30,000 peruncit utama seperti Harrods, Disneyland dan Walmart. Menjelang Ogos, syarikat yang berdaftar dengan kami dapat berurus niaga dengan syarikat-syarikat ini.

“Tambahan pula, pengetagan kod bar juga menyediakan pengesanan halal di mana bakal pembeli dapat mengesan asal pengeluaran pensijilan halal yang diperakui ke atas produk, bersama-sama dengan maklumat lain,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada dialog di antara Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia serta Persatuan Perdagangan Muslim Thailand.

Serunai Commerce, sekarang ini bekerja dengan lebih 200 badan-badan pensijilan halal, akan bertindak sebagai pusat pengesahan langsung bagi produk dan perkhidmatan yang menggunakan “Global Trade Item Number”, seperti yang dinyatakan oleh GS1.

Ketersediaan maklumat produk akan meluaskan peluang untuk perdagangan antarabangsa memandangkan Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan New Zealand tidak membenarkan urus niaga dalam talian tanpa data ini.

Katanya, Pangkalan Data Halal Global yang turut melibatkan Lembaga Pembangunan Industri Halal, mengumpulkan lebih 100 syarikat sejak ia dilancarkan pada Disember tahun lepas dan beliau menjangkakan jumlah itu akan meningkat kepada 500 menjelang akhir tahun ini.

Pangkalan itu turut disokong oleh SME Corp, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Standard Malaysia.

“Kami juga menyeru PKS untuk bersama dengan program ini memandangkan SME Corp, di bawah inisiatif program peningkatan perniagaannya, akan membiayai sehingga 40 peratus daripada yuran pendaftaran.

“Projek ini juga berada di bawah program eTRADE Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE). Kami akan menjadi lebih agresif dalam mempromosikan projek ini, pada masa depan,” katanya.