Pangkalan laut kekang jenayah rentas sempadan

SANDAKAN, 13 Feb – Pewujudan tiga pangkalan laut di perairan timur negeri ini menjadi faktor penting kepada tindakan mengekang pencerobohan dan penculikan oleh anasir jahat.

Komander Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) Brig Jen Zarondin Md Amin berkata ia membabitkan aset kapal Auxilari Tun Azizan (KA TAZ), Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah (PLTSR) dan Bunga Mas 5 (BM 5) ditempatkan di beberapa lokasi strategik di sekitar perairan timur negeri ini.

Katanya tiga pangkalan laut ini berkesan bagi memastikan kawalan keselamatan di perairan negara terjaga sepanjang masa.

“Ini penting bagi membendung perkara yang tidak diingini atau seumpamanya seperti yang berlaku semasa pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu.

“Kita akan sentiasa bersiap siaga mengekang sebarang kejadian buruk di kawasan perairan negara ini. Oleh itu, dengan adanya aset tersebut sekali gus dapat memberi impak positif dalam membantu meningkatkan keselamatan negara,” katanya.

Penyelia Sekolah 3M (membaca, menulis dan mengira) Sarjan Mohd Amran Jaafar dari Kor Perkhidmatan Am (Pendidikan) Markas Taktikal Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja mengajar murid sekolah itu membaca di Pulau Berhala. – Bernama

Zarondin berkata keselamatan di perairan negeri ini khususnya di pantai timur pada masa sekarang berada dalam keadaan terkawal.

Katanya jika dibandingkan pada 2016, banyak kejadian berlaku melibatkan penculikan dan rompakan di sekitar perairan timur negeri ini tetapi pada tahun lepas tidak ada sebarang kejadian penculikan dan pencerobohan berlaku.

“Oleh itu, kita bersama dengan agensi keselamatan yang lain akan berusaha sebaik mungkin pada setiap masa untuk memastikan sebarang jenayah berjaya dibanteras di kawasan perairan ini demi memastikan keselamatan negara khususnya orang awam terjamin,” katanya.

Terdahulu, Zarondin menyampaikan sebanyak 10 komputer sumbangan Koperasi Tentera kepada Penyelia Kelas Membaca, Menulis dan Mengira (3M) Sarjan Mohd Amran Jaffar. – Bernama