Pangkalan Laut perketat kawalan sempadan

Pangkalan Laut perketat kawalan sempadan

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) – Pembinaan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah yang terletak di perairan timur Sabah mampu meningkatkan tahap keselamatan di perairan negeri itu terutama di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zain berkata pangkalan laut tersebut akan dilengkapi dengan bot pemintas, kenderaan dasar laut beroperasi sendiri AUV (unmanned aerial vehicles), helikopter dan pasukan ‘Quick Reaction Force’ (QRF) yang mampu bertindak dengan pantas.

Pangkalan ini akan ditauliahkan tidak lama lagi, mungkin pada Ogos nanti,” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga ATM 2015 di Masjid Khalid Al-Walid di sini.

“Dengan wujudnya pangkalan tetap, ia memudahkan lagi usaha menjaga perairan negara terutama bagi memintas bot penjenayah di sekitar kawasan sempadan selatan Filipina,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Zulkifeli berkata 20,000 anggota tentera daripada cawangan darat, udara dan laut akan bertugas pada satu Syawal nanti.