Panglima ABRS kunjungi Kementerian Pertahanan

Panglima ABRS kunjungi Kementerian Pertahanan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Ketua Turus Pertahanan Angkatan Bersenjata Republik Singapura (ABRS) yang baru dilantik, Mejar Jeneral Perry Lim hari ini mengadakan lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan Negara Brunei Darussalam untuk mengeratkan lagi hubungan sedia ada antara kedua-dua belah pihak.

Beliau tiba di negara ini bagi lawatan pengenalan rasmi selama tiga hari bermula 2 hingga 4 November 2015.

Sejurus tiba di Kementerian Pertahanan di Bolkiah Garison, beliau disambut dengan upacara Kawalan Kehormatan, terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei.

Selepas itu, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit.

Pada acara berasingan, Mejar Jeneral Perry Lim juga mengadakan kunjungan pengenalan rasmi kepada Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Mejar Jeneral Perry Lim ketika disambut dengan upacara Kawalan Kehormatan daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei.
Mejar Jeneral Perry Lim ketika disambut dengan upacara Kawalan Kehormatan daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei.
Mejar Jeneral Perry Lim ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz.
Mejar Jeneral Perry Lim ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan di sini, hubungan yang sangat baik di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura dalam kerjasama pertahanan dibina melalui pelbagai aktiviti antara ABDB dan ABRS seperti latihan dua hala, lawatan, pertukaran program-program profesional dan usaha sama-usaha sama yang lain.

Interaksi tersebut telah mengukuhkan hubungan serta keakraban antara anggota-anggota kedua-dua angkatan tentera.

Lawatan tersebut bertujuan untuk meneruskan hubungan dua hala kedua-dua buah negara yang telah lama terjalin dan peluang untuk meneroka bidang kerjasama ketenteraan antara ABDB dan ABRS.

Mejar Jeneral Perry Lim merupakan Ketua Turus Pertahanan Singapura yang ke-9 dan yang terkini setelah beliau mengambil alih perintah ABRS dari Ketua Turus Pertahanan yang terdahulu iaitu Leftenan Jeneral Ng Chee Meng.

Beliau sebelum ini mengetuai Tentera Darat Republik Singapura.