Panglima Angkatan Tentera Lubnan hargai peranan Malbatt 850-2

Panglima Angkatan Tentera Lubnan hargai peranan Malbatt 850-2

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Panglima Angkatan Tentera Lubnan mahu Pasukan Pengaman Malaysia (Malbatt) 850-2 terus berada di Lubnan bagi menjaga keamanan dan keselamatan negara itu.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, ketika lawatan beliau ke Lubnan seminggu lalu, beliau ada berbual dengan Panglima Angkatan Tentera Lubnan mengenai sumbangan Angkatan Tentera Malaysia dalam Malbatt.

“Beliau amat berpuas hati dengan perkhidmatan yang disumbangkan oleh Malbatt dan meminta Malbatt terus berkhidmat dalam melaksanakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil).

“Kekuatan Malbatt adalah pada perkhidmatan dalam aspek kerjasama awam tentera (‘Civil-military Cooperation’ – CIMIC), itu merupakan kekuatan bagi Angkatan Tentera jika dibandingkan dengan pasukan lain di bawah ketumbukan Unifil,” katanya hari ini.

Zulkifeli berkata demikian dalam sidang media sejurus menghadiri Majlis penyampaian replika sumbangan mesin dialisis anjuran Yayasan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini.

Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Menurutnya, buat masa ini kekuatan seramai 850 anggota Malbatt termasuk 30 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah mencukupi untuk mengawal aspek keselamatan di Lubnan.

“Daripada apa yang saya lihat, warga Malbatt 850-2 yang telah berada di sana selama sembilan bulan telah melaksanakan tugas dan peranan mereka dengan cemerlang,” katanya.

Pada majlis itu sebanyak lima buah mesin dialisis bernilai RM380,000 disumbangkan oleh Yayasan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah kepada lima organisasi terpilih.

Organisasi terlibat ialah Hospital Kuala Krai, Yayasan Sultanah Bahiyah (Pusat Dialisis Tunku Sarina), Hospital Angkatan Tentera Terendak, Hospital Angkatan Tentera Lumut dan Rumah Sakit Angkatan Tentera Kucing. – Bernama